Penat

Setelah berbulan aku biarkan sunyi blog ini, hari ini, aku putuskan yang jiwaku perlu meluah rasa yang terpendam. Aku tak perlukan pembaca. Sumpah, tak.

Aku cuma mahu berbicara pada jiwaku yang tandus, yang kerjanya menangis dan tertekan.

Sebenarnya, aku dah berubah. Banyak berubah sejak aku masuk kolej. Sangat banyak sebenarnya.

Aku dah tak banyak menangis. Dan walaupun aku menangis, aku tak menangis depan orang. Aku menangis sendiri. Walaupun aku rasa nak marah dan kecewa yang teramat pada seseorang, aku dah pandai kawal sekarang. Aku menangis, tapi diam-diam.

Aku sembunyi-sembunyi menangis. Sebab, aku tak mahu orang sangka aku lemah. Dan, oleh kerana aku tak pernah mengadu perih dan penat atau sakit, aku rasa orang pandang aku kuat. Orang fikir aku tak kisah. Orang rasa aku kuat daripada mereka semua. Sedangkan, hakikatnya lain.

Aku menangis, pada malam-malam di mana beban di bahu terasa membunuh tubuhku.
Aku menangis, dalam solatku ketika mana kebencianku terhadap diri sendiri memuncak.
Aku menangis, di atas tikar sejadah pada masa kesedihanku terasa memakan jiwaku.

Kata manusia-manusia di sekelilingku, aku beruntung kerana keluargaku tinggal dekat. Pada masa lelah, aku boleh terus pergi kepada mereka. Tetapi tidak. Andai kata mereka itu tahu apa yang dalam jiwaku yang tak pernah aku ceritakan.

Bila aku lihat semua orang memandangku, melihat ke arahku agar menjadi tempat mereka bergantung, aku lelah sendiri tanpa aku ceritakan pada orang lain. Aku sendiri tidak dapat menanggung letihku, mereka tambahkan pula sakitku dengan luka mereka. Aku kuatkan diri. Aku cuba untuk letak kepentingan diriku di tepi. Tapi, berapa ramai di antara mereka yang sebenarnya sanggup menanggung perih dan luka aku.

Mereka tak pernah tahu. Tak pernah.

Kadang-kadang, aku ingin sekali mereka tahu apa yang ada di dalam sekeping hati yang rapuh ini. Nak sangat mereka tahu betapa penatnya aku.

Tetapi, Tuhanku menghalang.
Tuhanku tinggikan egoku.

Dia biarkan aku menanggung perasaanku sendiri.
Dia bekalkan aku kekuatan supaya aku diamkan perihku dan jadikan Dia tempat meluah sengsara.

Tuhan...
aku penat.

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.