Tiket 'Sakit'

Assalamualaikum…



Masa saya bersekolah rendah dulu, saya sentiasa berharap yang saya ni sakit. Saya malahan berharap saya berada di ambang maut kerana penyakit kritikal. Saya sentiasa berharap masa saya di dunia ini tidak lama.
Mungkin kerana saya jarang sekali sakit. Nak demam setahun sekali pun payah. Jadi, saya berharap agar saya seorang yang sakit dan tidak punya masa lagi di atas muka bumi.

Merepek. Dan saya sedar tu.

Entah kenapa, itulah yang saya inginkan suatu ketika dahulu. Mungkin, pada fikiran saya dulu, orang sakit biasanya akan dapat banyak perhatian. Yala.. Apabila kita sakit, ada orang akan manjakan kita, ikut kemahuan kita dan beri perhatian sepenuhnya pada kita. Seolah-olah, ‘sakit’ itu merupakan tiket kepada kasih sayang.

Barangkali, saya terlupa. Bahawa apabila usia semakin bertambah, tiket ‘sakit’ juga sudah turun harganya.  Apabila usia bertambah, tiada lagi perkara tiket ‘sakit’ yang dapat digunakan bagi mendapatkan kasih sayang.



Umur saya 18. Dan pada umur sebegini, ibu bapa akan mula kurang rasa risau sekiranya anak-anak sakit. Pada umur begini juga, anak itu takkan disuap ubat lagi melainkan diri sendiri yang melakukannya.
Tiket ‘sakit’ hilang harganya.

Kerana kesibukan ibu bapa, kerana kesibukan adik-beradik, tiada sesiapa yang benar-benar boleh memberikan perhatian kepada kita walau sesakit mana pun kita.

Dan malahan, kita sendiri terasa lemah semangat apabila menyedari yang tiket ‘sakit’ sudah hilang harganya. Kerana sepatutnya, setahun sekali, dengan menggunakan tiket itu, kita boleh beli perhatian keluarga, atau paling kurang pun, perhatian seorang ibu.

Menjangkau umur 18, badan saya begitu mudah diserang demam dan sakit-sakit. Dan buat masa sekarang, tekak saya terasa seolah-olah sedang dibakar. Kehausan saban waktu meruntun tekak saya. Penat sudah menelan air, namun tidak hilang juga rasa kering di tekak.



Allah..

Batuk sesekali menikam seluruh dada. Hingus sedari hari itu tidak kering-kering. Badan sudah terasa penat menahan sakit.

Dan pada usia begini, dengan tiket ‘sakit’ yang tidak lagi berharga, pengharapan hanya boleh diletakkan pada suatu perkara sahaja. Dia..Yang Menguasai Alam seluruhnya.


Kerana tiket ‘sakit’ ini sebenarnya adalah tiket meraih perhatianNya. Kerana dengan menggunakan tiket ‘sakit’ ini, Allah sebenarnya memanggil hambaNya untuk membeli doa dan taubat. 

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.