The Lonely + AdaMu (Part 15)

Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Allah. Itulah kejayaan yang amat besar. [Al-Maidah: 119]
Ya.. Redha.. Aku perlu redha. Ini bukan salah sesiapa, ia hanya kehendak Dia yang aku tak boleh nak lawan pun.



Aku menutup mashaf Al-Quran itu. Buku 'Untuk Kita Pendosa' dicapai.

Selang beberapa minit, kedengaran pintu diketuk.

"Hani?" Puan Aisyah muncul di sebalik pintu. Aku bingkas bangun.

"Ya?"

"Mari turun ke bawah. Saya ada sesuatu untuk ditunjukkan," kata Puan Aisyah kepadaku, ianya kedengaran seperti sebuah arahan.

Aku hanya menurut.



Kami bersama-sama memasuki sebuah bilik kecil berwarna putih. Bilik itu kecil tetapi comel. Di sebelah kanannya terdapat dinding berwarna putih sementara pada dinding di sebelah kiri, tingkap-tingkap kaca berbingkai kayu kelihatan. Tingkap-tingkap itu agak tinggi, hingga boleh menampakkan bahagian luar rumah dengan jelas.

Di suatu sudut, sebuah beg gitar yang mahal kelihatan. Sementara di suatu sudut lagi terletaknya sebuah piano dari kayu pokok maple yang dicat putih. Aku perlahan-lahan mendekati piano yang gah berdiri itu. Aku menekan kekunci C major. Bunyinya berdengung di dalam bilik kecil itu.

Bunyinya masih bagus.



"Awak tahu main piano?" Puan Aisyah bertanya padaku sambil meletakkan dirinya di atas kerusi piano.

"Lagu Twinkle Twinkle Little Star dengan Happy Birthday tu tau la saya," aku mengukir sengih sambil duduk di sisi Puan Aisyah. Ya.. Aku tahu la juga serba sedikit tentang musik. Sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, hanya ada satu kelab yang pernah aku sertai. Kelab Musik.

Puan Aisyah menarikan jari-jemarinya di atas kekunci piano. Dan bilik itu mula diisi dengan melodi yang indah. Setelah seketika, aku mula mengenali melodi itu.

"Shin Seung Hun, I Believe," aku berbisik.

Bunyi sumbang tiba-tiba kedengaran. Puan Aisyah nampaknya tersalah tekan kunci.

"Awak tu lagu ni?" Puan Aisyah bertanya padaku.



"Abang selalu main gitar lagu ni," aku memberitahu.

"Awak tahu main lagu ni?" Puan Aisyah bertanya lagi. Aku mengangguk, "dengan gitar, bolehlah."

Puan Aisyah bingkas bangun dan mencapai beg gitar yang tersadai di suatu sudut di dalam bilik itu.

"Tapi saya dah tak ingat sangat," aku cuba mengelak. Aku tahu kemahiran aku tak sehebat Puan Aisyah, malu pula rasanya nak bermain di hadapan dia. Tapi, tetap sahaja, gitar disuakan kepadaku. Aku menyambutnya dengan sengih.

"Saya nak dengar awak main," kata Puan Aisyah yang kelihatan seperti sedang memberi arahan.

Aku mengambil pemetik gitar yang terletak di dalam beg. One.. Two.. Three..

Dan, bilik kecil ini kembali diisi melodi yang sama.



Sebaik sahaja aku selesai bermain, dua pasang tangan bertepuk untukku. Aku menoleh ke arah pintu. Dr. Afsheen sedang bersandar di pintu sambil menepuk tangan.

"Tak tahu pun yang awak ni pandai main muzik," Dr. Afsheen menepuk bahuku sambil mengambil tempat di sebelahku di atas kerusi piano. Aku hanya tersenyum.

Inilah bakatku satu-satunya yang aku tahu. Selain daripada tu, aku sendiri tak pasti apa yang aku boleh lakukan dengan baik.

"Saya pun tahu lagu ni. Tapi saya tak main gitar, saya main piano. Gitar tu Papa punya," Dr. Afsheen memberitahu sambil melihat ke arah gitar yang aku pegang.

"Doktor pun main muzik?" aku  bertanya.

"Mestilah. Mama cakap, muzik ni dah macam tradition dalam keluarga. Semua orang kena belajar. Mama dengan Papa saya both pandai main muzik," Dr. Afsheen tertawa kecil. Dia menoleh melihat Puan Aisyah yang masih tercegat di belakang kami.

"Kamu berdua berbuallah. Mama nak naik atas sekejap," kata Puan Aisyah lalu terus meninggalkan kami.



"Awak tahu tak yang Mama saya tu sebenarnya muallaf?" Dr. Afsheen tiba-tiba bertanya.

Aku menoleh ke arahnya. Walaupun aku tak pasti tentang hal tersebut, tapi, boleh dikatakan, aku tidak terkejut mendengarnya. Sejujurnya, Puan Aisyah tidak sedikitpun kelihatan seperti orang Melayu. Wajahnya jelas kelihatan seperti orang Cina.

"Mama dan Papa berkenalan masa mereka sama-sama belajar King's College dekat London dulu. Mama nursing, Papa medic," Dr. Afsheen menekan kekunci piano untuk C minor.

"Papa doktor dekat mana sekarang? Masih bekerja?" aku beranikan diri untuk bertanya. Sejak semalam, tidak kelihatan langsung bayang seorang lelaki di dalam rumah besar ini.

"Papa saya, macam Abang awak jugak. Dah meninggal. Dua tahun lepas," Dr. Afsheen memberitahu sambil menekan kekunci G mengikut turutan dari kiri ke kanan.

"Owh.. Maaf, saya tak tahu," aku memberitahu, tiba-tiba rasa bersalah kerana memaksa Dr. Afsheen bercerita tentang perkara itu. Keadaan sunyi, mengisi ruang.

Dr. Afsheen kemudiannya memainkan sedikit melodi daripada lagu Tears daripada Leessang. Bunyi lagu yang suram membuatkan aku bertambah rasa serba salah.

"Doktor, maaf," aku mengucapkan maaf.



"Papa saya yang Islamkan Mama, great thing kan? Saya rasa macam tu la. Mama memang pure Chinese from Xinjiang, Karamay. Mama main piano, Papa pulak memang suka sangat main gitar masa muda. Sebab tu, kami ada bilik ni, dan dua intsrumen ni," Dr. Afsheen terus bercerita sambil menunjukkan jarinya pada kedua-dua instrumen di dalam bilik itu.

Sekali lagi, hanya kesepian yang mengisi bilik kami. Gitar di tangan, aku tenung. Ada satu lagu, yang aku minat, hasil daripada tontonan di TV dengan Abang semasa kami masih kecil. Aku ada belajar juga untuk main di rumah dengan gitar lama Abang. Aku tak berapa pasti sejauh mana aku mengingati lagu tersebut. Perlahan-lahan, aku kembali memetik gitar.

Lagu tema Eden of The East kedengaran. Dr. Afsheen hanya memandang dengan kening yang terangkat. Dahinya sedikit berkerut.



"Saya tahu lagu ni tapi saya tak ingat tajuk," katanya sebik sahaja aku berhenti. Aku pun tak berapa ingat sebenarnya.

Dr. Afsheen kembali menekan kekunci piano, memainkan lagu yang sama.

"Lagu ni, ah ha!" katanya sambil memetik jari di udara.

"Lagu tema anime Jepun tu kan? Eden of The East?" dia bertanya. Aku yang terkagum, mengangguk. Dr. Afsheen memang minat muzik?

"Jepun tu.. Mana awak dengar?" dia bertanya sambil tertawa.

"Abang. Doktor?" aku memulangkan soalan.

"Saya memang minat anime, masa dekat Ireland dulu la, sekarang, kurang," dia menjawab sambil tersenyum.



------------------------------------------------------------------------------------------------------------



"Hani, awak janganlah panggil saya dengan panggilan 'doktor' lagi. Hubungan kita dah lebih dari hubungan pesakit dan doktor, tau?" aku mengukir senyum. Hani di seberang meja hampir tersedak mendengar kenyataanku itu.

"Habis, saya nak panggil doktor apa?" Hani bertanya, dahinya sedikit berkerut.

"Panggil 'kakak', boleh? Saya tak pernah ada adik perempuan, awak boleh jadi adik saya," aku mencadangkan. Dan kali ini, Mama pula yang hampir tersedak.

"Panggil 'Sheen' sudahlah," Mama pula mencadangkan.



"Saya rasa lagi senang kalau panggil 'doktor'," Hani masih berkeras.

"Peliklah awak panggil saya dengan panggilan formal walaupun dekat dalam rumah," aku membantah.

Dan selepas seketika, Hani bersetuju untuk memanggil aku sepertimana Mama, Papa dan Asyraf memanggilku. Sementara untuk Mama pula, Hani dipaksa untuk bersetuju untuk memanggil Mama dengan panggilan, 'aunty'. Memanglah janggal tapi aku rasa, itulah panggilan yang paling sesuai dapat aku cadangkan.

Hani dan Mama, tiada bantahan.



"Afsheen, bila Asyraf nak balik?" Mama tiba-tiba mengeluarkan soalan

Aku terdiam, tersentak. Entah dari mana, tiba-tiba Mama mengeluarkan soalan sebegitu.

"Pagi esok bertolak," ringkas aku menjawab sambil kembali menumpukan perhatian kepada makanan di atas meja. Aku sedar mata Mama merenung tajam ke arahku sambil Hani pula memandangku dengan pelik.

"Dia masuk pejabat esok?" Mama bertanya lagi. Aku tersentap buat kali kedua.

"Masuk tapi mungkin lambat sikit," padat aku menjawab tanpa mengangkat muka.

"Kenapa dia tak ambil cuti je? Dah dua hari, Sabtu Ahad kerja, dia boleh minta cuti kan?" Mama tak berhenti bertanya.

"Entah dia," aku menjawab sambil memasukkan makanan ke dalam mulut. Tak berniat untuk berlaku biadap tapi Mama sepatutnya tahu, aku tak suka berbicara tentang Asyraf di hadapan orang lain yang tak tahu tentang kedinginan hubungan kami berdua.

Padahal, aku sebenarnya jelas dengan alasan Asyraf, "Saya bosan dekat rumah."



Sedang aku asyik memikirkan hal Asyraf, tentang hospital dan sebagainya yang berkaitan, tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Mujurlah.

"Mama, esok Hani kena pergi hospital. Keputusan ujian keluar esok. Dan, Hani perlu buat beberapa pemeriksaan lagi," aku memberitahu Mama yang telah kembali memberi fokus pada makanan di pinggan.

"Kalau macam tu, Mama hantar Hani ke hospital esok," Mama membalas. Mendengarkan jawapan Mama itu, aku terkejut.

"Mama, Sheen ingat nak call teksi je, jemput Hani esok," aku memberitahu. Mustahillah aku nak susahkan Mama menghantar Hani ke hospital.

"Tak perlu. Mama nak ikut dan Sheen tahu Mama tak suka naik teksi kan?" aku cuba membantah kemudiannya tapi Mama memberitahu, keadaan mungkin agak berbahaya bagi Hani kerana dia seorang perempuan.

Dan, biasanya, aku takkan menang dengan Mama, sepertimana aku tak dapat menang dengan Asyraf atau Papa.



"Lagipun, Mama nak jumpa menantu Mama esok," Mama sekali lagi buat aku tersentap. Suka sungguh mengeluarkan ayat-ayat yang lain dari kebiasaan.

Dan kali ini, aku menerima tikaman mata dari Hani. Pandangan itu seolah-olah bertanya, "Suami doktor pun dekat situ jugak?"

Sambil melangkah ke bilik selepas habis makan malam, aku menghantar pesanan ringkas pada Asyraf, "Mama nak jumpa esok."

Balasan diterima setengah minit kemudian, "OK."

*Untuk dengar lagu 'I Believe' versi gitar, boleh klik sini.
*Untuk dengar lagu 'I Believe' versi piano, boleh klik sini.


Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.