The Lonely + AdaMu (Part 14)



Aku melangkah masuk ke dalam bilik Dr. Afsheen. Katanya, dia ingin tidur cepat tetapi dalam masa yang sama, mahu mendengarkan sambungan ceritaku terlebih dahulu sebelum dia terlelap. Dia mengajakku ke biliknya dan aku hanya menurut.

Kami berdua mendarat di atas katil Dr. Afsheen yang berwarna merah jambu. Pendingin hawa yang sedia terpasang, menyebabkan aku sedikit kesejukan. Dr. Afsheen menarik selimut comforter untukku. Dan seketika kemudian, kami sama-sama sudah  berbungkus dengan selimut comforter sambil duduk di atas katil Dr. Afsheen.

"Ok. Mula," aku memberitahu pada Hani.

Hani tergelak kecil, "Doktor, saya belum pernah buat macam ni dengan sesiapa pun."

"Tak apa. Saya pun sama. Ini pun first time saya," aku memberitahunya. Ya.. Walaupun aku pernah ke Ireland, dapat berkawan dengan manusia pelbagai bangsa, hatta dengan bangsa aku sekalipun, aku tak pernah buat perkara-perkara yang terkandung dalam sister code seperti ini.



"Apa yang doktor nak tahu?" Hani bertanya.

"Pasal abang awak," aku jujur menjawab. Sejak hari itu, aku tak dapat berhenti memikirkan apakah yang sebenarnya telah berlaku antara Hani dan abang angkatnya itu.

"Berat hati saya nak cerita," Hani mengeluh.

Seketika kemudian, "Abang saya....."

Aku menunggu penuh sabar.



"Dah meninggal."

Aku terkedu. Aku tak salah dengar? "Betul ke?"

Hani mengangguk. Wajahnya ditundukkan. Jarinya bermain-main di atas comforter.

"Waktu tu, saya ada kelas tambahan. Saya balik lambat. Lepas asar. Mula tu, saya ingat nak tunggu je kat sekolah sebab hujan turun renyai-renyai. Lepas tu, saya fikir, saya masih boleh bergerak, in case, kalau hujan lagi lebat, saya tak boleh balik terus," dia menghela nafasnya.

"Apa yang saya agak memang betul. Sampai di pertengahan jalan, hujan dah mula lebat. Padahal waktu tu dah pukul lima lebih. Kebetulan, ada pondok perhentian bas berdekatan dengan saya jadi, saya terus sahaja berhenti di situ. Hujan lebat berlarutan sampai satu jam. Hari pun dah gelap sangat dah," sekali lagi dia berhenti.

"Lepas tu, Abang cakap pada Mak Cik, dia nak cari saya. Mungkin waktu tu dah gelap, hujan lebat pulak tu jadi Abang rasa risau," air mata Hani sudah kelihatan bergenang di hujung mata.



"Tapi, hari tu tragis sungguh. Saya bersendirian, kawan-kawan lain semuanya naik kereta dan motosikal, jadi kebanyakan mereka memang tak dapat nak tunggu saya walaupun rumah kami berdekatan. Biasanya, saya memang bawa basikal sendirian untuk balik ke rumah."

"Tiba-tiba, entah dari mana, ada seorang lelaki menghampiri saya. Berbaju sekolah. Saya rasa dia budak sekolah saya berdasarkan lencana yang dipakai tapi saya tak dapat ingat wajahnya. Keadaan sangat gelap waktu tu."

"Dalam hati, jenuh saya berselawat dan beristighfar dan berdoa diberikan perlindungan oleh Allah. Tapi, mungkin Allah mahu uji saya, lelaki tadi tiba-tiba bergerak menghampiri saya. Saya mengabaikan sahaja dia. Dia mula menarik minat saya untuk berbual, tapi saya tak layan. Sungguh.. Saya tak tahu sebenarnya apa yang perlu saya buat. Saya berbelah bagi untuk  menjawab semasa dia sibuk bertanya."



"Kemudian, tangan dia sentuh pergelangan tangan saya. Keadaan itu sangat menakutkan. Saya cuba menarik kembali tangan saya daripada dia tapi saya baru berumur 15 tahun ketika itu. Dia menyerang saya tanpa saya dapat melakukan apa-apa. Hanya Allah yang tahu, apa yang saya rasa waktu tu. Puas saya menjerit tapi hujan menenggelamkan suara saya."

"Lelaki tu terus menanggalkan tudung saya. Allah..," Hani mengenggam bahu kirinya. Air mata yang tak dapat lagi diseka terus jatuh melimpah.

Aku sendiri keliru samada aku patut atau tidak membiarkan Hani terus bercerita. Aku ingin tahu kesudahannya. Tapi, dalam masa yang sama, aku tak mahu Hani rungsing mengenangkan hal tersebut.

"Hani, awak tak perlu sambung kalau awak tak mahu," aku cuba memujuk sambil menggenggam tangan kanan Hani. Hani segera menggeleng.



"Mujur, Allah selamatkan saya dengan kehadiran Abang waktu tu. Abang terus menerpa ke arah kami dan menumbuk lelaki itu. Dan pergelutan berlaku. Saya yang masih dalam keadaan terkejut, terus terduduk, terperosok di satu sudut di pondok perhentian bas tersebut. Saya tak dapat nak tolong Abang walaupun dalam hati saya, saya nak sangat bantu Abang," aku tekun mendengar walaupun dalam hati, aku agak pelik mengapa Hani tak berhenti daripada menceritakannya walaupun perkara sedemikian sangat merobek hatinya untuk diceritakan semula.

"Saya dengar bunyi lelaki itu dan Abang bergelut. Saya lihat bagaimana Abang menumbuk lelaki itu tapi, walaupun lelaki tersebut lebih muda dari Abang, dia ternyata lebih besar daripada Abang. Dan kemudian, apa yang saya nampak adalah Abang yang terjatuh di tepi pondok tersebut sementara lelaki tadi berlari dalam hujan ke arah yang bertentangan," nafasnya kedengaran tersangkut.



"Walaupun saya dalam keadaan terkejut, saya terus pergi ke arah Abang. Abang dah sangat kritikal. Darah keluar dari mulut dan hidungnya. Malahan di kepala juga ada darah yang mengalir. Saya mencapai tangan Abang dan kemudian barulah saya sedar, tepat di bahagian perut Abang, darah mengalir lebih banyak dari tempat-tempat lain. Terus saja saya menjerit," Hani menelan liur.

"Kebetulan, ada kereta lalu. Perkara terakhir yang saya ingat adalah, tangan saya melepaskan genggaman Abang," nafasnya ditahan.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Tiada lagi perkara yang dapat menahanku. Kejadian itu sangat tragis. Sangat menyakitkan. Sangat mengecewakan. Kalau kesedihan digambarkan dengan robeknya hati, kesedihan aku digambarkan seolah-olah, hilangnya hatiku dari tubuh. Tusukan yang aku rasa ke dalam hati seolah-olah menusuk ke dasar paling dalam pada jantungku.

Lelah..

Air mata yang mengalir, membasahi setiap inci pipi, aku biarkan. Tak kuasa lagi aku ingin menahannya. Sudah 13 tahun berlalu, tetap sahaja, perkara itu masih aku ingat sehingga ke hari ini. Malahan, setiap inci susuk tubuh Abang tak pernah aku lupa. Getaran nada suara Abang tak pernah lut dari ingatan. Hinggakan setiap pesanannya pula hidup dalam jiwaku.

Seketika, selepas 13 tahun, aku melepaskan segalanya.



"Memang salah saya Abang mati," aku bersuara, mengeluarkan perih dari dalam dada.

Sepanjang 13 tahun itu aku hidup dengan Mak Cik, hidup dengan segala rasa benci Mak Cik pada aku. Tak pernah sekali sejak kejadian itu, Mak Cik layan aku dengan baik.

Jari-jemariku mula mengenggam comforter yang mengelilingi tubuhku. Sakit, pedih, semuanya bercampur baur. Tangisan mula membanjiri pipi. Ya.. Memang salah aku.

"Kenapa salah awak?" Dr. Afsheen bertanya sambil jari-jemarinya menarik jari-jemariku dari terus mengenggam tilam dengan erat.

"Apa salah awak?" Dr. Afsheen mengulang tanya.



Ya.. Selama 13 tahun juga aku mencari jawapan bagi soalan itu. Aku sendiri tak pasti mengapa itu menjadi salahku sedangkan aku tak pernah berharap perkara tersebut akan terjadi.

"Salah awak ke bila abang awak tu cari awak? Salah awak ke bila ada lelaki berniat jahat pada awak? Salah awak ke bila abang awak terkorban semasa cuba menyelamatkan awak?" Dr. Afsheen menarik tanganku ke dalam genggamannya.

"Awak baru berumur 15 tahun waktu tu. Awak tak boleh pun nak tolong abang awak waktu tu. Kalau ada orang yang patut dipersalahkan, orangnya adalah lelaki jahat tu, bukan awak," dan kini tangan Dr Afsheen meraih bahuku. Selepas seketika, kepalaku sudah terletak di atas bahu Dr. Afsheen sementara tubuhku pula bersandar, pada tubuh Dr. Afsheen. Aku dapat merasakan ada belaian lembut di belakang kepalaku.

"Ini takdir namanya," Dr. Afsheen berbisik ke telingaku. Perlahan-lahan, Dr. Afsheen mengeratkan pelukannya. Dan aku terus, melepaskan lelahku di situ.



Tiba-tiba, ketukan di pintu kedengaran.

"Sheen, ni ubat Hani. Takut dia sakit malam nanti," entah dari mana, bagaimana, Puan Aisyah muncul di sebalik pintu.


Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.