The Lonely + AdaMu (Part 13)



Aku memandang rumah di hadapanku ini, tidak berkelip. Dalam hati, hanya Allah yang tahu akan betapa kagumnya aku dengan rumah ini. Mungkin, ia tidaklah sehebat mana bagi mereka yang dah biasa tengok rumah sebesar ni, tapi, bagi aku, memanglah aku kagum!

Rumah moden tetapi tampil dengan sentuhan klasik ini kelihatan begitu unik sekali. Terletak di atas sebuah bukit yang menempatkan rumah-rumah lain, yang lebih kurang sama saiznya. Warna kelabu dan putih yang bergabung sebagai warna luaran rumah besar ini menyerlahkan sentuhan modennya. Sementara dua bumbung berlekuk dan berandanya, jelas menunjukkan rumah itu adalah rumah lama yang baru sahaja diubahsuai.

Aku tertanya-tanya, rumah kecil Mak Cik, boleh memuatkan tiga bilik kecil. Kalau rumah sebesar ini, berapa banyak bilik yang ada?



"Apa tunggu dekat luar ni, mari masuk," Puan Aisyah sudah menapak menghala ke pintu besar.

Aku segera mengangkat tapak tanganku kepada Puan Aisyah, mengisyaratkan supaya dia menunggu sebentar, "Sekejap ya."

Aku terus ke belakang kereta dan mengeluarkan beg galas dan beg kitar semulaku. Begitu juga dengan bungkusan ubatku. Tiba-tiba, entah dari mana, ada sepasang tangan yang kasar menyentuh bahuku dan menolak tanganku dari kesemua barang-barangku.

"Biar saya saja yang lakuin ini semua, mbak," suara berloghat Indonesia itu menyapa telingaku. Di sebelahku, berdirinya seorang perempuan Indonesia yang masih muda. Dari wajah dan saiznya, aku merasakan dia mungkin hanya beberapa tahun muda daripadaku.

"Er.. Saya boleh angkat sendiri," aku cuba mendapatkan kembali begku dari tangannya. Tetapi lekas dia mengisyaratkan supaya aku berhenti mencuba daripada menghalangnya.

"Masuk aja ke dalam mbak. Biar saya aja angkat ni semua. Saya bisa kok," dia lantas membawa beg galasku ke bahunya dan menjinjing beg kitar semula yang aku bawa. Dia menutup bonet kereta dan memimpin aku masuk ke dalam rumah. Aku hanya mengikut dari belakang.



Pertama kali aku mendapat layanan sebegini, sungguh pelik rasanya.

"Hani tak boleh kerja keras sangat. Awak tu sakit, ingat ye?" kata Puan Aisyah yang sudahpun meletakkan begnya di sofa. Melihatkan aku sudah masuk, Puan Aisyah kembali membimbit beg tangannya.



"Jom! Kita naik tengok bilik Hani dulu. Ada banyak bilik dalam rumah ni. Hani pilihlah mana satu yang Hani selesa," Puan Aisyah berdiri di sisiku dan kami kemudiannya, bersama-sama berjalan menaiki anak tangga yang berasaskan laminate flooring itu.

Tiba sahaja di tingkat kedua itu, kelihatan sebuah ruang keluarga yang luas. Keluasannya bertambah apabila ruangan itu berasakan cat berwarna putih susu. Sofa disusun bersambung antara satu sama lain, menyediakan lebih banyak ruang di ruangan itu. Sebuah TV Plasma terlekat di dinding, mengadap ke arah sofa-sofa yang disusun bersambung tadi.

Dari ruangan itu, kelihatan 3 pintu dicat dengan warna putih susu, sementara satu lagi pintu dicat dengan warna merah jambu yang manis. Tidak terlalu kontra dengan warna ruangan keluarga itu.



Puan Aisyah menghala ke arah salah satu bilik dan membuka pintunya. Aku teragak-agak untuk masuk sehinggalah akhirnya Puan Aisyah menjemput aku masuk.

Dan, sekali lagi, aku terpana melihat bilik itu.

Keseluruhan ruang itu kelihatan sangat elegan. Coklat, kelabu dan putih menghasilkan warna yang sangat eksklusif. Aku menapak ke dalam bilik itu. Permaidani berbulu lebat seperti seekor kucing terasa di bawah kakiku. Aku mula teragak-agak untuk duduk di mana di dalam bilik itu. Terdapat beberapa buah kerusi di dalam bilik itu.

"Duduk saja di mana-mana yang awak suka," kata Puan Aisyah sambil menanggalkan tudungnya. Aku mengambil tempat yang membolehkan aku melihat keseluruhan bilik Puan Aisyah itu.

Setelah selesai menukar pakaiannya kepada sesuatu yang lebih santai, dia mengajakku melihat bilik-bilik lain pula.



Kami kemudiannya memasuki bilik yang memiliki pintu berwarna merah jambu yang aku lihat sebentar tadi. Pintu dikuak dan akhirnya, sebuah bilik yang berwarna merah jambu kelihatan. Dindingnya bertampal wallpaper berwarna merah jambu berselang ungu. Dinding yang lain pula berwarna putih. Cadar dan bantal berwarna merah jambu sementara perabot-perabot lain di dalam bilik itu kebanyakannya berwarna gelap.

Aku sukakan bilik ini. Warnanya cantik dan comel sekaligus. Nampak manis sekali. Aku mula merasakan ini bilik Dr. Afsheen memandangkan warna kegemarannya adalah warna merah jambu. Di atas katil, melekat di dinding, kelihatan sebuah bingkai gambar yang besar.

Bingkai gambar itu memperlihatkan sekeping gambar perkahwinan. Aku bergerak lebih dekat ke katil bagi melihat gambar perkahwinan siapakah yang menghiasi bilik itu. Dan aku terpaku.



"Puan, Doktor Afsheen dah kahwin?" aku bertanya sambil menunjuk ke arah gambar yang tergantung di dinding.

Puan Aisyah mendekatiku dan melihat ke arah gambar yang aku tunjukkan. Dia segere mengangguk.

"Awak tak tahu ke?" Puan Aisyah kembali bertanya padaku. Aku ssegera menggeleng. Belum pernah aku berbual tentang itu dengan Dr. Afsheen. Dia juga sesekali tidak pernah menyebut tentang suaminya atau anaknya atau status dirinya sekali pun. Selama ini, aku ingatkan, dia masih solo, belum berkahwin.

"Afsheen memang macam tu. Suka berahsia," Puan Aisyah berkata sambil mendarat duduk di atas katil empuk Dr. Afsheen.

"Banyak pink kan?" Puan Aisyah bertanya kepadaku. Aku membalas dengan sekadar mengangguk, masih pelik mengapa Dr. Afsheen tak pernah sesekali menyebut tentang statusnya kepadaku. Dalam banyak-banyak perkara yang kami bualkan, tidak sesekali dia menyebut tentang hal ini.

"Mari kita ke bilik sebelah. Bilik tu kecik sikit. Mungkin awak suka. Kalau tak suka, awak boleh pilih bilik lain," kata Puan Aisyah kepadaku sambil mengemaskan kembali cadar Dr. Afsheen.

"Puan, saya tak kisah dapat tinggal di bilik mana pun. Sungguh.. Saya tak kisah," bimbang pula aku memikirkan yang Puan Aisyah mungkin menempatkan aku di bilik anak-anaknya yang lain atau mungkin, bilik cucunya.

"Kenapa nak risau? Rumah ni banyak bilik yang tak digunakan pun," kata Puan Aisyah sambil membuka sebuah lagi pintu di sebelah bilik Dr. Afsheen.



Bilik ini ternyata lebih kecil berbanding bilik Dr. Afsheen tadi tetapi ia masih kelihatan luas kerana perabotnya yang lebih sedikit. Bilik kali ini tidak mempunyai warna tema seperti kedua-dua bilik sebelumnya. Bilik ini secara keseluruhannya berwarna putih. Hanya cadar dan pintu almari yang berwarna lain. Katil single kelihatan di suatu sudut bertentangan dengan sebuah meja kecil yang menempatkan sebuah pasu bunga hidup.

"Suka?" tanya Puan Aisyah.

Aku segera mengangguk. Tak mahu dia menyusahkan dirinya menunjukkan aku setiap bilik yang ada di rumah besar ini.

Sebaik sahaja aku selesai menunaikan hak kepada Penciptaku, aku menelan sebiji pil yang telah disediakan oleh Puan Aisyah untukku. Ianya adalah ubat bagi meningkatkan selera makanku walaupun sejujurnya, aku tidak merasakan ianya banyak membantu. Tetap sahaja, berat badanku menurun dan selera makanku tidak kunjung tiba.

Pintu bilik kedengaran diketuk dari luar. Aku menoleh dan seketika kemudian, aku menyuruh orang tersebut masuk. Perbuatan mengetuk pintu bilik seperti ini agak janggal bagiku kerana biasanya, hanya Abang yang rajin untuk ketuk pintu bilikku sebelum masuk. Dan setelah Abang pergi, sudah tiada orang lagi yang masuk ke bilikku selain diriku sendiri.



"Hai," wajah Dr. Afsheen muncul di sebalik pintu. Aku hanya tersengih memandangnya sambil melipat telekung.

Dr. Afsheen terus menapak ke dalam bilik itu dan mendarat duduk di atas katil. Dia memandang ke seluruh bilik itu sebelum kembali menegurku, "Awak suka bilik ni?"

Aku mengangguk, "Suka sangat. Lapang dan besar."

"Tak adalah besar sangat pun. Awak boleh duduk di bilik yang lebih besar, awak tau?" Dr. Afsheen memberitahu. Aku hanya menggeleng.

"Doktor tak pernah bagitau saya pun yang doktor dah kahwin?" aku kembali mengingatkan diriku tentang fakta mengejutkan itu.

Dr. Afsheen hanya memandangku dengan riak sedikit terkejut. "Awak yang tak pernah tanya. Takkan tiba-tiba saya nak cerita yang saya dah kahwin."

Kemudian, terus dia tertawa kecil. Aku pula membalas dengan pandangan tak puas hati.

"Dah. Tak payah nak pandang saya macam tu. Saya baru balik ni. Penat dan tak nak bersoal jawab tentang benda pelik-pelik, ok? Saya nak mandi sekejap, lepas tu, kita boleh turun makan," Dr. Afsheen segera meninggalkan bilik itu.

Sebaik sahaja Dr. Afsheen meninggalkan bilik itu, aku terus mencapai buku 'Untuk Kita Pendosa' yang ditulis oleh Hilal Asyraf.



------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku merenung buku yang dipegang Hani. 'Untuk Kita Pendosa'? Apa tu?

Walau bagaimanapun, aku elakkan dari bertanyakan hal itu kepada Hani sendiri. Aku tidak pasti mengapa aku berbuat demikian walaupun sebenarnya, aku ingin sekali tahu tentang buku itu.

Malam itu, kami makan malam bersama, bertiga, aku, Mama dan Hani. Agak ceria suasana di meja makan ketika itu. Maklumlah, sebelum ini, hanya ada aku dan Asyraf yang masing-masing dingin antara satu sama lain. Mama pula, walau sebanyak mana  mencuba untuk menjernihkan hubungan kami, usaha Mama tidak langsung membuahkan hasil.



"Hani, awak dah makan ubat yang saya sediakan tadi?" tanya Mama pada Hani.

"Dah, puan," Hani menjawab sambil menyuapkan makanan ke dalam mulut. Sungguh.. Aku rasa pelik melihat Hani makan. Memanglah sedikit yang diambilnya tapi masih saja dia menelan makanan itu sedangkan pesakit-pesakitku sebelum ini, semuanya menderita kekurangan tenaga akibat hilang selera makan.

Aku menjeling ke arah Hani semasa dia menelan makanannya dan aku tahu, ia tidak mudah untuknya. Setiap kali dia menelan sesuatu, aku dapat menangkap tangannya mengenggam kuat di bawah meja. Jelas sekali, ia sukar.

Sebaik sahaja kami menyelesaikan makan malam, Mama meminta Hani masuk ke dalam bilik bagi mengambil ubatnya. Aku dan Hani berjalan beriringan di belakang Mama.



"Nah. Makan ni, perlahan-lahan ye," kata Mama sambil menghulurkan piring yang meletakkan beberapa biji ubat Hani. Hani mengambil piring itu dan meletakkan semua pil yang perlu dimakannya di atas lidahnya sebelum menelan kesemua pil itu sekaligus.

Muka Hani berkerut ketika pil-pil itu menelannya. Air suam dihirup dari dalam gelas kaca. Sekali lagi, Hani berkerut. Mama hanya tersenyum melihat kerutan di wajah Hani.

Mama terus kembali ke biliknya. Kata Mama, dia penat.

Maka, tinggallah kami berdua. Aku memandang ke arah Hani. Masih ada yang belum selesai antara kami.

"Hani?"

"Ya..."

"Sambunglah cerita awak," aku menyuruh Hani menyambung ceritanya yang dulunya diceritakan padaku sebelum dia melarikan diri dari hospital.

Hani membalas dengan senyuman. Matanya menjeling ke arah jam.

"Kita solat dulu lah. Lepas tu, doktor boleh terus tidur," Hani sudah bangun menuju ke bilik air.



[+] Ok.. Maaf eh.. Gambar rumah yang dekat Part 12 tu tak valid tau. It just a picture sebelum saya betul-betul jumpa gambar rumah kelabu ni. Hehe.. Sorry.. Sorry..

Dan satu lagi, ada sedikit edit ye di Part 12.

:)

May Allah bless all of you.. :)

Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.