The Lonely + AdaMu (Part 12)



Mama tidak mengalihkan pandangan dari wajah Hani Hayani. Sungguh.. Aku tidak tahu Mama boleh memandang seseorang begitu. Wajah Mama sedikit terkejut dan wajah Hani langsung tidak dilepaskan. Hani mengerutkan dahi tatkala menyedari tangannya yang dihulurkan untuk bersalaman dengan Mama langsung tidak dilepaskan.

Bukan Hani sahaja yang mengerutkan dahi. Aku juga.

"Mama...." aku memanggil perlahan.

Mama mengelipkan mata dan dengan sepantas itu juga, melepaskan tangan Hani dan mengalihkan pandangannya dari wajah Hani ke wajahku. 

"Kenapa?" aku bertanya. 

"Mama macam pernah jumpa dia," Mama memandang wajah Hani sekali. Hani hanya mengangguk pada Mama. 

"Mungkin sebab Hani ada meniaga kuih dekat gerai?" aku bertanya pada Mama. 

Ya.. Itu bukan sesuatu yang mustahil. Mama mungkin pernah singgah di kedai Hani. 

Mama mengangguk dan sekali lagi memandang ke arah Hani yang aku rasakan semakin tidak selesa dengan Mama. 

"Hani, kalau boleh, saya nak bersendirian dengan Mama saya sekejap. Boleh awak tinggalkan kami berdua? Awak tunggu di luar, boleh?" aku bertanya penuh sopan terhadap Hani. Sungguh tidak senang aku dibuatnya untuk membuat permintaan sedemikian kepada Hani sedangkan akulah yang meminta jururawat menghantar Hani ke sini. 

"Tak ada masalah." Hani menjawab dan lekas bangun dari kerusi roda yang didudukinya.



Mama yang sudahpun duduk di kerusi di sebelah Hani, lekas berdiri dan menghalang Hani dari terus bergerak. Dengan gerakan spontan yang gemalai, Mama menekan bahu Hani dengan lembut agar dia kembali duduk di atas kerusi rodanya. Hani hanya patuh. Sekali lagi, aku lihat kerutan di dahinya.

Aku biarkan panorama itu berlalu. Mama membawa kerusi roda Hani ke luar. Aku yakin Mama tidak sekadar menghantar Hani ke luar bilik pejabatku kerana agak lama Mama keluar sebelum kembali ke bilikku. 

"It is not polite for you to do such thing to your patient," Mama menegur keras. 

"Sorry. Sheen dah nak bangun tadi. Tapi, Mama lebih cepat," aku cuba berdalih. Sedangkan aku memang tidak ada niat langsung untuk membantu Hani. Aku tidak berjaya fokus pada keadaan Hani yang menyebabkan dia terlalu letih untuk bergerak. Aku memikirkan sesuatu yang lain sebenarnya.

"Kenapa, Sheen? Ada sesuatu yang merunsingkan?" Mama bertanya terus. Tiada rahsia. Mama...mana mungkin ada rahsia antara kami!

"Sheen ada benda yang perlu Sheen beritahu pada Mama dan Sheen kalau boleh, nak Mama dengar dengan baik dan cuba faham keadaan Sheen," aku memberitahu dengan susun ayat paling teratur. 

"OK," Mama merehatkan tangannya di atas kedua-dua paha dan bersandar ke belakang kerusi, posisi yang aku kira paling sebati dengan Mama apabila dia ingin mendengar.



Aku mulakan dengan menceritakan keadaan Hani menurut pandanganku. Tiada lagi yang boleh dipandang remeh. Pada peringkat ini, Hani sepatutnya dibiarkan berkurung di hospital sahaja. Ubat-ubatannya dan dietnya perlu diambil berat. Itu tidak lagi termasuk berapa banyak rawatan dan pemeriksaan yang dia perlu jalani. 

Kemudian, aku ceritakan pada Mama kisah hidup Hani yang berjaya meraih simpatiku. Tiada ibu atau ayah. Diambil sebagai anak angkat. Dan lebih kejam lagi, diperhambakan. 

Kisah Hani lari dari hospital hanya kerana tiada wang untuk membayar bil. Pertemuanku dengan Mak Cik Subaidah di rumah mereka tempoh hari dan Mama hanya teruskan mendengar tanpa terasa ingin bertanyakan sebarang soalan.

Akhir sekali, aku beritahu pada Mama hasratku yang sebenarnya. 

"Sheen nak Mama jaga Hani," aku menyuarakan apa yang terbuku. 

Mama masih tenang dengan riak wajah yang tidak berubah. Matanya tepat memandang ke arahku. 

"Memang kedengaran agak pelik tapi Sheen rasa, dah cukup rasional tindakan Sheen ni," aku memberitahu, cuba menyakinkan Mama. 

Mama hanya diam. Masih diam.



"I need you to this for her. Mama ada kemampuan tu. I trusted you more than any other nurse in this hospital," aku cuba mendesak. 

Mama cukup kemahiran dan kepakaran. 25 tahun berkhidmat sebagai jururawat di hospital swasta, dilantik pula menjadi Ketua Jururawat selama 5 tahun, aku percayakan kemampuan Mama. Dan, aku juga inginkan yang terbaik untuk Hani. 

Mama akhirnya menarik semula badannya ke hadapan. Tidak lagi bersandar. Tangannya di bawa ke atas mejaku. 

"Are you doing for her? Kenapa tak pernah buat macam ni sebelum ni?" Mama bertanya. Soalan yang aku tahu, aku terpaksa hadapinya juga.

"Yes, I am doing this for her and I have no reason why I never did this to the others before," aku mengeluh dan menyandarkan tubuhku. Ya.. Aku sebenarnya, tiada alasan mengapa aku lakukan perkara ini untuk Hani. Ia hanya satu naluri hati yang selama ni, aku tak pernah percayakan.



Mungkin kerana aku tak pernah bertemu dengan seseorang seperti Hani. Mungkin kerana Hani lah pesakit pertamaku yang pertama sekali melarikan diri. Mungkin juga kerana Hani belum menghabiskan ceritanya malam itu, menjadikan aku teruja dan terlalu ingin mendengar ceritanya lantas aku memutuskan perkara sebegini supaya dia tidak dapat melarikan diri lagi. 

Banyak sebab yang kelihatan agak munasabah yang akhirnya, menyebabkan aku keliru. 

"Sebenarnya, ia bukanlah masalah yang besar pun. I agree with...," 

"With conditions?" aku bertanya. Mama biasanya meminta sesuatu sebagai balasan. Katanya, bukan tidak ikhlas tetapi hidup perlukan keuntungan.

Mama mengerutkan dahinya dan menggeleng perlahan. "With no conditions." 

Aku tersenyum. This is weird enough. For me and her. Unreasonable action with no conditions.



Aku tekan butang di interkom dan meminta jururawat supaya bawakan semua ubat-ubatan yang diperlukan oleh Hani. Aku terang satu persatu kegunaan ubat dan keperluannya. Aku juga beritahu pada Mama setiap satu langkah untuk menjaga dan mengawasi Hani. 

Mama hanya mendengar dengan teliti sambil tangannya ligat mencatat semua yang diperlukan.

Memandangkan terlalu banyak ubat yang perlu dibawa oleh Mama, ditambah lagi dengan Hani yang masih berkerusi roda, aku segera mendapatkan atendan hospital untuk membantu Mama. 

"Mama, Sheen perlu teruskan kerja Sheen. Maaf Sheen tak dapat temankan Mama dan Hani sampai ke bawah. Sheen jumpa Mama di rumah nanti," aku bersalaman dengan Mama dan melambai ke arah Hani yang bakal ditolak oleh atendan hospital. 

Kedua-dua mereka membalas dengan senyuman yang hampir seiras.



------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Di hadapan kami terdapat sebuah kereta mewah berwarna hitam. Agak terpesona juga aku dibuatnya. Wanita yang sudah setengah abad itu menekan kunci kereta sehingga kereta mewah berwarna hitam di hadapan kami itu mengeluarkan bunyi. 

"Awak boleh bergerak sendiri masuk ke dalam kereta tak? Kalau tak boleh, Hashim boleh bantu awak," wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Puan Aisyah itu bertanya.

Aku mengangguk. Segera bangun dan terus ke tempat duduk di sebelah pemandu di dalam kereta tersebut. Tak rela diangkat atau didukung oleh atendan hospital yang bernama Hashim itu. Bukan kerana dia seorang pengotor, tetapi ini soal maruahku sebagai seorang perempuan. Kalau setakat bergerak masuk ke dalam kereta pun perlukan bantuan, itu sangatlah menyusahkan. 

Aku melihat Hashim membawa kerusi rodaku kembali ke wad. Pintu belakang dibuka kemudian ditutup. Kereta yang aku naiki ini agak luas. Baunya harum juga. Aku lihat bungkusan-bungkusan ubatku diletakkan di atas tempat duduk belakang.



Beg tangan Puan Aisyah juga diletakkan di situ. Aku sempat menjeling jenama beg tangan itu. Kate Spade, jenama yang tak pernah aku dengar sebelum ini. Warnanya agak menarik untuk wanita seusia Puan Aisyah. Merah jambu yang manis. 

"Bukan saya yang beli. Hadiah dari Afsheen," Puan Aisyah bagai menjawab persoalan yang terdetik di kepalaku. Dia tertawa kecil. 

"Jadi, Dr. Afsheen suka warna merah jambu?" aku beranikan diri untuk bertanya. 

"Ya. Dia sangat sukakannya," Puan Aisyah menjawab sambil mengundurkan keretanya. 

"Puan memandu sendiri?" aku bertanya lagi. Aku agak terkejut. Aku sangkakan, akan ada orang yang bawa kami pulang. Dan sungguh, aku tak menyangka Puan Aisyah sendiri yang akan memandu kami pulang. Wanita seusia dia, memandu?

"Afsheen dan Asyraf agak risau tentang hal ni. Tapi, saya tahu saya masih kuat untuk dirve sendiri, awak tak rasa begitu?" dia memulangkan soalan padaku. Aku hanya tersengih. Dia juga mengukir senyum. Dia tidaklah segarang yang aku sangkakan. 

Dan kemudian, bermulalah sesi soal jawab antara kami. Seperti Dr. Afsheen juga, Puan Aisyah sangat mudah dibawa berbual dan tidak sesombong rupa mereka.

Tak lama kemudian, kami akhirnya tiba di rumah yang sedari tadi terbayang-bayang di fikiranku. Gulp!



Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.