Antara Faiz dan Nabila : MenTarbiyah atau DiTarbiyah

"Faiz, tolonglah ana kali ni," Nabila meminta.


"Haish..! Jangan nak buang masa ana dengan permintaan anti yang bukan-bukan tu," Faiz melangkah setapak ke hadapan. Dengan pantas juga, Nabila ke hadapan, menghalang gerak langkah Faiz.

"Nabila, ana tak tau la kenapa ana masih kena jadi senior anti," Faiz mengeluh.

Dari zaman sekolah rendah, hinggalah sekolah menengah, Faiz merasakan dia sudah agak bosan menjadi senior Nabila. Bukannya apa. Ada sahaja perkara yang akan mengaitkan mereka berdua. Berkali-kali Faiz harap agar dia tidak dipertemukan dengan Nabila lagi. Meskipun Nabila satu tahun lebih muda darinya, tetap sahaja Nabila saingannya yang utama.

Bukan sahaja pandai menyakitkan hati orang, Nabila selalu juga mencabar dirinya sebagai seorang lelaki. Dari kecik, sampailah naik sekolah menengah dan sekarang, dah masuk kolej pun!

"Anta tak percaya dengan hikmahNya?" Nabila bertanya, keras, dengan nada menyindir.

Nah! Itu satu tamparan besar. Faiz mengeluh buat yang kesekian kalinya.



“Yang anti ni tak berhemah sangat ni kenapa?” Faiz bertanya lagi. Separa menjerit. Bimbang juga ada telinga-telinga yang terdengar perbualan mereka itu.

“Apanya? Ana cuba bersopan, meminta dengan habis kelembutan dah, anta tetap ja tak boleh nak bertolak ansur,” Nabila dah tarik muka. Sungguh, kalau bukan kerana terdesak, bukan setakat pandang, jeling wajah Faiz pun dia tak ingin.

“Kenapa anti tak mau jadi naqibah? Pengalaman anti tu, tak berguna tau tak kalau tak mau praktikkan dekat sini. Dekat sinilah cabaran dakwah tu besar. Ramai lagi orang yang tak pernah terima tarbiyah. Kalau anti pun nak masuk usrah setakat jadi adik-adik usrah, baik tak payah join usrah terus,” akhirnya terkeluar juga apa yang terbuku di hati Faiz.



Bosan sungguh dengan telatah Nabila yang tiba-tiba datang padanya, meminta agar dirinya diterima masuk ke dalam salah satu kumpulan usrah tetapi bukan sebagai naqibah. Faiz hilang akal mencari motif di sebalik permintaan Nabila kali ini.

“Ana nak jadi kumpulan yang ditarbiyah pulak! Ana penat jadi naqibah,” Nabila tetap dengan pendiriannya.

“Kenapa? Anti rasa dakwah tu membebankan?” Faiz mencabar.

“Encik Faiz, anta dah lama kot dalam bidang ni. Bagi anta, dakwah tu setakat bawak usrah je ke?” Nabila menentang.

Diam. Suasana jadi sunyi antara mereka.

“Ana masih tak faham kenapa anti tak mau jadi naqibah. Anti kenal usrah sejak dari sekolah rendah. Bila masuk sekolah menengah, sambung lagi dengan program usrah, jadi adik usrah. Naik form 3, di awal usia, anti dah terima tanggungjawab jadi naqibah. Sampailah anti naik form 5, jadi senior, duduk dalam BADAR, anti pegang Biro Dakwah dan Tarbiyah,” panjang lebar Faiz menyebut satu persatu perkara yang dia tahu mengenai Nabila dan benda yang dinamakan dengan usrah.

Baginya, sungguh rugi kalau mereka yang berpengalaman dalam bidang ni, tiba-tiba tarik diri. Bukan tarik diri dari usrah kerana nak bagi full commitment pada study, tapi tarik diri dari jadi naqibah sebab nak bagi full-commitment pada usrah, katanya.



“Kan ana dah cakap jangan sebut pasal tu?” Nabila mengerutkan dahi sambil mata memandang kiri dan kanan. Bimbang kalau-kalau ada yang mereka kenali, berada di kawasan berhampiran.

Faiz mengangkat kening dan bahunya, serentak.

“OK. Ya.. Ana akui ana ada semua benda yang anta nak sebut sangat tu. Sebab tu jugalah ana rasa, ana perlukan tarbiyah instead of mentarbiyah semata-mata. Anta bukan tak kenal ana. Kita berjiran kot. Ada nampak ana ke surau? Kalau tak ke surau pun, ada nampak ana dekat mana-mana aktiviti sosial dekat taman kita tu?” Nabila bertanya pada Faiz, lancar. Ayat yang sudah disusun sedari pagi tadi itu keluar dengan begitu baik.

Nabila akui, dari situlah dia mersakan betapa lemahnya dirinya. Sebagai seseorang yang pernah menggalas tanggungjawab-tanggungjawab besar di sekolah, Nabila sedar dia sebenarnya berkelakuan seperti seorang hipokrit atau mungkin lebih dahsyat lagi, seorang munafik.

Bukan tidak mencuba, tetapi biasanya, setiap kali dia ingin mencuba untuk berubah itulah akan datangnya halangan yang tak dapat nak ditepis. Ya.. Dia tidak dilahirkan di dalam keluarga yang benar-benar faham erti tarbiyah dan dakwah. Apabila dia tinggal di dalam rumahnya, bi’ah solehah di sekolah, gagal dibawanya ke rumah.
“Tak cukup munasabah bagi ana,” jawab Faiz kembali. Memanglah dia jarang terserempak dengan Nabila di surau, sebab jelas sekali Nabila seorang muslimat. Macam tak logik jugalah mereka akan selalu terserempak dekat surau tu.  Solat dalam ruang yang sama pun, pasti terpisah dengan tirai pemisah juga.   

Bab aktiviti sosial tu, itu bukanlah masalah besar pun. Dia memang sudah maklum dengan kebiasaan keluarga Nabila yang sering tiada di rumah dan sering menerima tetamu pada waktu-waktu di mana aktiviti sosial bersama jiran-jiran lain dilakukan.

“Kalau bagi anta, anta tak nampak ana di surau tu tak munasabah, begitu juga dengan semasa aktiviti sosial dilakukan, OK, ana boleh terima. Sekarang ana nak tanya, ada nampak ayah ana dekat surau tu?” Nabila bertanya. Bukan berniat mengina atau mengaibkan ayahnya yang tercinta tetapi dia perlukan penjelasan yang kukuh untuk yakinkan Faiz bahawa tugas sebagai naqibah itu tidak layak untuknya.



“Bukannya ana nak suruh ayah anti jadi naqibah,” Faiz menyindir.

Ya.. Dia faham hal itu. Memanglah jarang untuk dia terserempak ayah Nabila turut sama berjemaah di surau. Memang jarang sungguh sampaikan wajah jirannya itu langsung tak dapat diingat dengan jelas.

“Memanglah bukan. Tapi, itu ukuran untuk anta yang ana ni tak mampu nak wujudkan bi’ah solehah pun dekat rumah. Macam mana pulak ana nak bawa bi’ah solehah dalam usrah ana?” Nabila bertanya, cuba menunjukkan rasional di atas tindakannya.

Faiz menggeleng lagi. Dia kenal Nabila sebagai junior, saingannya yang hebat. Semasa Faiz menjadi Ketua Biro Dakwah dan Tarbiyah dulu, Nabila lah setiausahanya. Nabila jugalah anak didiknya yang dilantik menjadi Penolong Ketua Biro Dakwah dan Tarbiyah sebaik sahaja dia meletak jawatan.

Sekalipun Nabila anak didiknya, pernah menjadi setiausahanya, pencapaian Nabila adalah jauh lebih membanggakan daripada pencapaiannya. Nabila teliti dan bijak menyusun strategi. Kemas bergaya setiap laporan yang didengarnya daripada murabbi di sekolah setahun selepas meninggalkan sekolah itu.

Ya.. Dia cemburu. Pelik juga bagaimana Nabila boleh mencapai perkara-perkara yang tidak terlintas di fikirannya sedangkan Nabila adalah anak didiknya. Seolah-olah, Nabila memang jauh lebih hebat darinya. Memang tercabar jugalah.



“Dakwah kepada keluarga adalah yang paling sukar. Even Rasulullah saw pun kena hina dengan ahli keluarga sendiri masa first time menyebarkan Islam dulu,” Faiz cuba berhujah menggunakan logik akal dan dalil agama.

“Tetapi Rasulullah saw tetap terus mencuba. Baginda seorang yang kuat, seorang yang kental, cuba juga bawa Islam ke dalam keluarganya, kaum Quraisy, pada ketika itu. Tapi ana lain..ana tak cuba pun. Bukan tu ja, malahan ana tak pernah sebut pun pasal dakwah tarbiyah ni dalam family gathering ka apa-apa ka,” Nabila membalas lagi.

Perjuangan Baginda adalah panduannya. Memang terasa mudah nak menggalas dan menjadikan sirah sebagai motivasi semasa dia di asrama dulu. Bi’ah solehah yang sedia ada, membuatkan jiwanya lebih terikat dengan ayat-ayat motivasi di dalam Al-Quran dan Hadis. Dia tak perlu wujudkan bi’ah solehah, dia hanya perlu follow, dan cuba kembangkan.



Memang tidak disangkal, dia mempunyai banyak pencapaian yang membanggakan sebagai Penolong Ketua Biro Dakwah dan Tarbiyah semasa di sekolah asrama dulu. Dialah yang membawa usrah ke satu peringkat yang lebih tinggi.

Setiap naqib dan naqibah diberi latihan intensif selama satu bulan semasa cuti sekolah sebelum dilantik menjadi naqib dan naqibah. Dialah yang menghubungi Syed Faiz Syed Mahmad untuk tinggal bersama mereka selama sebulan dan melatih mereka menjadi naqib dannaqibah yang berkarisma dan berfikrah Islam. Dialah juga yang mempertingkatkan lagi ciri-ciri pemilihan naqib dan naqibah, meneliti satu persatu agar tiada kesilapan yang dibuat.

Ya.. Semuanya cukup membanggakan semasa di sekolah. Malangnya, habis sahaja SPM, pulang ke rumah. Dia bukan sahaja tidak kelihatan seperti Penolong Ketua Biro Dakwah dan Tarbiyah, tetapi dia langsung tidak kelihatan seperti seseorang yang pernah berkecimpung dalam medan dakwah dan tarbiyah.



“Jadi, kuatkanlah diri anti! Dekat kolej ni, berapa ramai yang tahu perihal dakwah dan tarbiyah? Kalau bukan orang seperti kita yang perkenalkan, siapa lagi?” Faiz cuba menyangkal. Baginya, Nabila hanya bersikap lemah.

“Tak guna juga kalau orang seperti ana ni memperkenalkan dakwah dan tarbiyah sedangkan ana sendiri tidak berada dalam kedua-duanya. Ana perlu tajdid niat ana sebelum kembali ke bidang ni. Kalau anta terus bagi sahaja pada ana, ana bimbang, ana bukan sahaja merosakkan imej anta dan kawan-kawan yang lain, malahan ana jadi fitnah pada agama sendiri,” Nabila cuba menerangkannya lagi. Padahal dalam hati sudah terasa pedih dan sakit kerana terpaksa mengakui hal sebegitu.

Faiz mengerutkan dahi. Fitnah pada agama? Sampai macam tu sekali? Kenapa Nabila sanggup menggelar dirinya sampai begitu sekali? Berat!

“Anti membiarkan diri anti lemah melalui semua kata-kata tu,” Faiz menegaskan pendiriannya. Nabila terlalu lemah dan mungkin dia perlukan motivasi.



“Anti buatlah seperti mana di asrama dulu. Macam mana anti pernah motivate biro anti dan anak-anak usrah anti. Fikirlah dulu. Takkan anti nak mula dari bawah sedangkan anti pernah berada di atas?” Faiz bertanya, cuba bertenang supaya jalan tidak kelihatan kelam buat Nabilah.

“Ini bukan pentas dunia hiburan, bukan juga pentas buat selebriti yang memerlukan dia untuk berada di atas. Ini jalanan seorang hamba. Ana ada titik permulaan. Kalau ana pernah berjalan di tempat yang betul tapi kemudian ana tersesat, ana rela kembali ke titik permulaan perjalanan ana dulu,” Nabila mengeluarkan logik akal dan falsafah yang selama ini dipegangnya.

Dia tidak inginkan nama. Dia hanya inginkan tarbiyah. Dia dahagakan tarbiyah dan bi’ah solehah yang pernah dirasanya dulu. Dan dia melihat dirinya seperti seseorang yang tengah menderita kesakitan dan memerlukan pertolongan kecemasan secepat yang mungkin.

Faiz sekali lagi tersentap. Memang inilah yang melukakan perasaannya setiap kali bertemu dengan Nabila. Keikhlasan Nabila, menyebabkan dia petah bertutur dan mudah menyakinkan orang lain dengan rancangannya. Sesuatu yang Faiz sendiri tidak memilikinya.



“Faiz, berilah ana satu peluang lagi untuk merasakan diri ana ditarbiyah. Ana boleh berdakwah tapi berilah ana sedikit masa dan biarkan ana melakukannya dengan cara ana sendiri,” kini, Nabila kelihatan seperti sedang merayu peluang dari Faiz. Dalam hati, puas berdoa agar Faiz dilembutkan hatinya oleh Pemilik Qalb.

“Anti sebenarnya pengecut kan? Pengecut untuk menggalas beban dakwah dan cuba melengah-lengahkan masa dari medan dakwah kan?” Faiz mula menuduh. Lelah dengan manusia yang lemah seperti Nabila.

“Dakwah dalam kepala anta tu hanyalah pada usrah kan? Itulah masalah naqib dan naqibah sekarang ni. Hanya berani bawa usrah tapi tak berani berhadapan dengan kenyataan dakwah tu bukan sekadar dalam usrah kan? Bagi ana peluang untuk ditarbiyah, dalam masa setahun, kalau ana berjaya memenangi medan dakwah dengan keluarga ana dan sahabat sebilik ana, ana akan bersedia dilantik menjadi naqibah dan kalau anta nak beri ana lebih tanggungjawab sekali pun, ana akan terima,” Nabila mengemukakan cabaran yang kalau dilihat dengan teliti, ia bukan cabaran yang mudah dan sudah terkeluar pun dari zon selesa.

Nabila tekad.



Dan Faiz, hanya terdiam. Matanya terbeliak mendengar cabaran itu. Dia sendiri tidak akan pernah sanggup menerima cabaran berat sedemikian rupa, apatah lagi mencabar dirinya sendiri.

“Dan kalau anti tak berjaya memenangi medan dakwah dengan keluarga dan sahabat sebilik anti, bagaimana?” Faiz bertanya. Dia agak kebingunagan dengan cabaran Nabila.

“Ana berjaya buktikan, ana tidak layak bergelar naqibah dan terdapat kekurangan yang jelas pada semua naqib dan naqibah yang selama ini membantutkan usaha dakwah dan tarbiyah ni.”

Dan sekali lagi, teguris perasaan Faiz.

“Verily! Allâh will not change the (good) condition of a people as long as they do not change their state (of goodness) themselves. Ar-Rad, ayat 11,” dihujahnya pula dengan ayat Al-Quran.



Tak guna menyalahkan dakwah dan tarbiyah kalau diri sendiri yang tidak terbuka hati menerima tarbiyah.

“Sebab tu la ana cuba mengubah diri ana sendiri dengan memulakan langkah dari peringkat paling bawah. Ya.. Ana nak ubah diri ana dan sebab tu la, ana cabar diri ana. Ana perlukan target dan dalam masa yang sama, kita sama-sama boleh teliti, apa masalah dakwah dan tarbiyah kita yang sebenarnya.”

Diam, sekali lagi.


Posted in . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

3 Responses to Antara Faiz dan Nabila : MenTarbiyah atau DiTarbiyah

fyumie said...

hmm.. selalunya, dgn jdi pemimpin juga, boleh belajar.. :)

not many will be chosen.. but still, i wish she just accept the help and not thinkin' about succeeding much.. ^^;

Mimi Jazman said...

fyumie ...

hehe.. :D ana nak biar antum semua fikir yg terbaik..sebab tu tak dak ending..

biar pembaca putuskan, mereka setuju dengan sapa.. :)

Nusaibah said...

very interesting,
however i somehow think that nabila shouldnt make such unreasonable excuses.setuju apa yg "fyumie"ckp,memimpin sambil belajar
"aslih nafsak,wad'u ghairak"

btw goodwork ukhti :)

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.