The Lonely + AdaMu (Part 10)



"Awak sihat?" Dr. Afsheen memulakan soalannya dengan suara yang lembut, diiringi dengan senyuman yang manis.

"Saya sihat. Alhamdulillah," aku membalas senyuman itu. Namun, jawapan yang aku berikan bukanlah jawapan yang benar secara total.

"Awak jangan tipu saya!" Dr. Afsheen memberi amaran sambil tubuhnya disandarkan ke belakang. Tangannya disilangkan di dada.

Aku tertawa dengan reaksi spontan Dr. Afsheen yang terus berubah serta-merta menjadi seorang doktor yang garang.

"Doktor tanya soalan yang pelik. Mestilah saya tak sihat. Doktor pun tahu hakikat tu. Lagi mau tanya," aku menghabiskan sisa tawaku.



"Janganlah main-main. Serius ni. Macam mana dengan keadaan perut awak?" Dr. Afsheen menarik wajahnya dan memandang aku dengan pandangan yang serius. Tiada lagi pandangan ramah seperti sebelumnya.

"Sejak saya tinggalkan hospital, saya rasa keadaan macam lagi teruk. Saya cakap jujur ni walaupun saya rasa tak patut jujur dengan doktor sebenarnya," aku mengeluh sebaik sahaja menghabiskan perkataan terakhir.

"Kenapa pulak awak rasa macam tu?" Dr. Afsheen bertanya sambil diiringi dengan kerutan di dahi.

"Mesti doktor nak saya balik ke hospital kan?" aku terus ke perkara utama. Aku harus suarakan masalah aku supaya Dr. Afsheen tak mendesak lagi.

"Sebelum tu, saya nak tahu kenapa awak lari dari hospital," Dr. Afsheen memandangku dingin. Renungan matanya cukup tajam untuk menimbulkan perasaan serba salah dalam diriku.

"Hm.. Saya tak ada sebanyak tu untuk bayar bil hospital," sekali lagi, aku mengeluh.

Nabi Yaakub menjawab : Sesungguuhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak ketahui. [Surah Yusuf : 86]

Aku tak sepatutnya mengeluh pun. 'Mengadukan kesusahan dan dukacita kepada Allah'. 

"Itu je ke?" Dr. Afsheen seolah-olah mencabarku memberi jawapan lain. Aku biarkan sahaja soalan itu tanpa sebarang jawapan

"Bukan sebab awak nak tolong Mak Cik Subaidah tu?" agak keras suara Dr. Afsheen bertanya. 



Seketika selepas itu, pelayan di bakeri yang mengambil pesanan kami sebentar tadi, meletakkan dua cawan White Coffee di hadapan kami. Aromanya sahaja sudah membuatkan aku rasa sangat selesa. Aku menyentuh luar cawan bagi merasakan kehangatan dari haba minuman tersebut. Sangat menyelesakan. 

Perlahan-lahan aku menghirup White Coffee itu sebelum menjawab, "Walaupun dia tak adalah baik sangat terhadap saya, tapi, dialah yang menjaga saya selama ni. Mustahil saya tak fikirkan dia." 

Telingaku lekas menangkap keluhan kecil Dr. Afsheen. 

"Awak tetap perlu ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan. Kita tak tahu apa yang dah jadi pada perut awak sebenarnya," Dr. Afsheen mula kelihatan risau. 

Aku cuba berlagak tenang walaupun hati sebenarnya sedag berdegup kencang. Risau dengan keadaan diri sendiri.



Sesiapa yang akan memperoleh limpahan kebaikan dari Allah, maka akan ditimpakan ke atas dirinya terlebih dahulu. [HR Abu Hurairah]

Takkan pernah mudah! 

Perbincangan diteruskan. Serius tanpa sebarang perbualan ramah seperti selalu semasa aku di hospital. Dr. Afsheen banyak mengajukan soalan 'out of the box'. Sungguh..Kenapalah dia peka pula dalam hal-hal sebegini?

Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam sebaik sahaja Dr. Afsheen meminta diri untuk balik ke rumahnya. Sambil menolak kerusi ke bawah meja, dia memandangku dan berkata dengan nada yang tegas,

"Awak perlu ke hospital esok. Saya tak peduli apa pun yang terjadi, awak  mesti berada di hospital esok pagi. Saya akan atur jadual saya untuk awak jadi awak sangat kejam kalau awak tak datang esok. Jangan risau pasal bil hospital. Saya akan uruskannya dan jangan berani nak menolak."



------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Dia tak ingat atau sengaja buat-buat tak ingat! 

Huh... 

Aku melangkah masuk ke dalam apartmen yang agak mewah itu dengan langkah yang sedikit berat. Aku tak tahu ke mana Afsheen. Ditelefon, tak angkat. DiSMS, tak balas. 

Tiada tanda-tanda Afsheen sudah sampai di rumah terlebih dulu sebelum aku. Keadaan rumah masih dalam keadaan gelap gelita. 

Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah kamu semua bersaudara-mara. [HR Bukhari dan Muslim]


Sepotong hadis yang menjengah pandangan matanya sebentar tadi di rumah Mama semasa menyelak helaian naskhah majalah Solusi, seolah-olah kembali menjengah di ruang mindanya. 

Hm.. Mungkin dia ada hal kot..

Perlahan-lahan, bergerak ke bilik dan mengeluarkan semua pakaian yang perlu untuk dibawa bersama untuk program keesokan harinya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ruangan yang terang dengan cahaya lampu menunjukkan bahawa salah seorang daripada penghuni apartmen itu sudah pun tiba sebelumnya. Afsheen perlahan-lahan menanggalkan kasut tumit sederhana tingginya dan meletakkan sepasang kasut itu ke dalam rak kasut yang tersedia di sebelah pintu masuk. 

Pintu bilik dikuak sedikit.



Bilik itu hanya diterangi dengan lampu tidur yang terletak di kedua-dua sisi katil bersaiz king. Bilik yang berlatarkan kertas dinding berwarna putih kasar itu kelihatan samar-samar. Bau haruman daripada penyembur wangian automatik memenuhi ruang.

Kelihatan bentuk tubuh salah seorang daripada penghuni apartmen itu. Sudah tertidur nyenyak. Dengkuran halus kedengaran memecah kesunyian. 

Maafkan saya. 

Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.