Apabila Kamu Sebenarnya Seorang Yang Cuai....



Bermulanya kisah daripada kehidupan Oh Young yang sangat terbatas dek kerana kecacatannya dalam penglihatan. Oh Young juga dikatakan sebagai seorang yang tak boleh diharap dan sekiranya dia dibandingkan dengan orang cacat penglihatan yang lain, mungkin boleh dikatakan, dia adalah yang paling menyusahkan.

Ini kerana, Oh Young tidak pernah diberi kesempatan untuk mempelajari segalanya sendiri. Dia sentiasa memerlukan bantuan daripada orang lain. Malahan untuk keluar bersendirian sahaja, sudah cukup berbahaya untuknya. Sedangkan orang buta yang lain, mereka masih boleh keluar dari rumah dan melakukan sesuatu yang mereka suka.

Oh Young dijaga oleh Cik Wang yang sejak muda lagi telah mengorbankan kehidupannya untuk Young. Dialah yang menjaga Young dan membesarkan Young walaupun setelah ibu bapa Young meninggal dunia.



Oh Young selalu merasakan dirinya kecil dan tak berdaya sehinggakan untuk keluar dari rumah dan bercuti sahaja bersama kawan-kawan yang lain juga kelihatan mustahil. Dia tidak memiliki ramai kawan bukanlah kerana dirinya yang buta, tetapi sebaliknya kerana Cik Wang menghalang segala kehendaknya itu.

Bagi Cik Wang, adalah penting bagi Young untuk tinggal di rumah dan selamat. Dia tidak mempercayai kawan-kawan Young yang mengaku bahawa mereka akan menjaga Young sebaik mungkin. Cik Wang sangat sukar mempercayai kesemua kawan yang Young miliki sehinggalah akhirnya, Young hanya memiliki beberapa orang kawan sahaja.

Semuanya menjadi berat bagi Young kerana dia juga ingin menjalani latihan di pusat komuniti seperti orang buta yang lain. Young tak ingin berada di rumah sahaja dan terus menurut segala yang Cik Wang suruh dia lakukan.



Young begitu teringin untuk menyediakan keknya sendiri. Dia merasakan dirinya mampu melakukan semua itu. Lantas, Young meminta beberapa orang pekerjanya menyediakan semua bahan keperluan untuk membuat kek. Young meminta bantuan sahabat baiknya untuk menunjukkan resepi kek yang mudah untuk dibuat sebagai permulaan.

Mi-ra hanya menurut dan Young mula melakukan kerjanya. Telefon pintar Young mengeluarkan suara, membacakan resepi untuk Young yang tidak dapat membaca.

Ketika memotong strawberi, Young tiba-tiba sahaja menjerit. Mi-ra yang ada berdekatan dengannya terus menerpa ke arahnya.



"Young, awak dah terpotong jari awak ni. Lukanya agak dalam. Mari kita ke klinik," kata Mi-ra sambil tangannya masih memegang jari Young yang luka.

"Tak perlu. Kalau Cik Wang tahu, dia takkan benarkan saya ke pusat komuniti nanti," Young cuba menghalan sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Awak tahu kenapa saya tak bagi awak ke pusat komuniti? Awak tu terlalu cuai, tahu?" entah dari  mana, suara Cik Wang yang tegas, kedengaran.

Tangan Mi-ra beralih dan digantikan dengan tangan Cik Wang, memegang jari Young yang luka.



"Mi-ra, ambilkan kotak first aid di dalam almari tu," Cik Wang mengarahkan Mi-ra. Mi-ra hanya menurut.

Selepas membalut jari Young yang luka, Cik Wan sekali lagi mengarahkan Mi-ra. Dan kali ini, dia mahu Mi-ra membawa Young ke biliknya. Mi-ra hanya menurut.

Setelah sampai ke biliknya, Young didudukkan oleh Mi-ra di atas katilnya. Mi-ra kemudiannya terus sahaja meninggalkan Young berseorang di dalam biliknya.

Air mata perlahan-lahan, mula terbit di mata Young. Dia berasa sangat kecewa. Apa yang telah berlaku hari ini, akan memberi kesan kepada kesemua perkara yang ingin dilakukannya selepas ini. Cik Wang akan jadi lebih berhati-hati sehingga semua perkara rutin juga akan menjadi susah untuk Young.



Young menekapkan mukanya ke bantal bagi menghalang suara esakan bak anak kecil yang keluar dari mulutnya. Sungguh, dia tidak dapat menahan rasa sedihnya.

Menjadi seorang yang cuai dan tidak berkebolehan menghalang Young dari melakukan semua perkara. Biasalah gagal ketika kali pertama mencuba, Young merasakan dirinya seharusnya diberi peluang lagi untuk mencuba. Tetapi, pasti, Cik Wang tidak akan membuka peluang untuk kali kedua buat dirinya.

Young terus menangis dan menangis. Sehelai demi sehelai tisu yang berada di meja soleknya dicapai. Dan akhirnya, Young tertidur dalam keadaan dirinya teresak-esak.



"Awak tak boleh mengalah daripada berusaha melakukan apa yang awak mahukan. Buktikanlah yang awak mampu lakukannya," suara Oh Soo, iaitu abang kepada Oh Young kedengaran dalam mimpi.

Dan suara itu seolah-olah mengingatkan dia kembali kepada semangatnya. Ya.. Pasti gagal. Cik Wang pasti akan menghalangnya untuk melakukan apa-apa selepas ini. Tetapi, itu bukan alasan untuk dia berhenti dari melakukan apa yang disukainya.

Dia tetap akan berbincang dan berusaha untuk membuktikan kepada Cik Wang bahawa dia bukan lagi seorang gadis buta yang cuai dan hanya bergantung kepada orang-orang yang berada di sekelilingnya.

"Duduk sahaja dan melayan kesedihan tidak akan menjadikan saya lebih dekat dengan impian saya."

------------------------------------------------------------------------------------------------------------


[+] Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata menggunakan nama watak-watak daripada drama 'That Winter The Wind Blows' yang sedang ditayangkan di Channel One HD sekarang.

Pengajarannya di sini ialah, bagi saya, kita tak patut berhenti daripada berkehendak untuk melakukan sesuatu yang kita inginkan. Semua orang ada keinginan masing-masing.

Ada yang hendak ke kelas menjahit sendiri, tetapi terhalang kerana tiada orang mahu menyokongnya. Walaupun berlesen dan berkereta, tetap sahaja susah hendak bergerak ke mana-mana dek kerana diri sentiasa dilabel dengan perkataan 'CUAI'.



Tetapi, itu bukanlah alasan yang baik untuk menghalang kita daripada melakukan sesuatu mengikut keinginan kita.

Hanya terdapat dua alasan yang  boleh menghalang impian kita.

Pertama, perkara yag diimpikan itu adalah perkara yang buruk (melanggar syariat).
Kedua, setelah berusaha, Allah masih belum mengizinkan.

Itu sahaja alasannya.



Sekiranya kita berimpian melakukan sesuatu, dan tiba-tiba ada orang mengatakan, "Tak boleh. Kamu masih belum mampu melakukan ini semua."

Itu bukan alasan untuk berhenti sebenarnya. Pasti akan ada cara dan jalan untuk terus berusaha menunaikan impian kamu itu.

Dan berusaha adalah tindakan yang paling penting suapaya kamu berjaya mencapai impian kamu.

Sekiranya seseorang menghalang kamu dari melakukan sesuatu yang kamu suka kerana kamu seorang yang tak boleh diharap, kamu sepatutnya membuktikan kepada mereka bahawa kamu juga boleh diharap dan mampu melakukan apa sahaja yang kamu ingin lakukan.



Berusahalah menyakinkan orang yang cuba menghalang kamu itu.

Dan selebihnya, berserah pada Allah sahaja. Sekiranya apa yang kamu ingin lakukan itu betul dan baik buat kamu, pasti Allah akan membantu kamu.

Tetapi sekiranya Allah menghalang dan tidak membuka sebarang jalan untuk kamu, nampaknya, sepanjang-panjang hayat kamu ini, kamu perlu berusaha. Sekurang-kurangnya, apabila sudah tua nanti, tiadalah lagi penyesalan kerana tidak mengejar impian kamu kerana kamu tahu kamu sudah berusaha, tetapi Allah yang lebih baik lagi perancanganNya, mengaturkan sesuatu yang lebih baik buat kamu.

:)



Usaha dan doa dan teruskan berharap, ya?

Bukan mdah nak capai impian dan buatkan orang lain jadi yakin pada kita dengan impian kita itu. Tapi, kalau dah bersungguh-sungguh dan tak kenal erti putus asa, orang pun lama-lama akan faham juga, kan?

:)

Posted in , , , , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.