The Lonely + AdaMu (Part 9)



"Sebiji kuih 40 sen," aku memberitahu seorang perempuan 40-an. Diiringi dengan senyuman, aku menghulurkan plastik kepadanya.

Beginilah kehidupan aku. Setiap hari Jumaat, aku akan menggantikan anak lelaki Cik Asmah menjaga gerai kuih milik Cik Asmah. Memandangkan Hazwan perlu bersiap awal untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat, aku mulakan tugasku seawal jam 12 tengahari. Selepas menghantar kuih kepada dua buah tempat lain, aku akan terus ke gerai Cik Asmah bagi menghantar kuih yang dibuat oleh Mak Cik dan mengambil alih tempat Hazwan.

"Akak, macam mana, ok?" Hazwan yang siap berbaju Melayu berwarna putih datang menyertai aku di bawah payung besar yang memayungi gerai Cik Asmah.

"Ok je. Macamlah akak tak pernah buat. Awak tak pergi lagi ke?" aku membalas dengan senyuman sambil mengambil duit dari seorang pelanggan lelaki.

"Nak pergi dah ni. Akak dah makan?" Hazwan bertanya dengan nada prihatin.



Aku menggeleng, "Belum lagi. Kejap lagi la kot. Biar pelanggan kurang sikit."

"Akak jangan lewat sangat makan. Perut akak tu bukannya tahan sangat macam perut saya. Ok. Saya pergi dulu kak," Hazwan ketawa kecil lalu beredar ke masjid. Masjidnya tidaklah terletak terlalu jauh dari tapak gerai Cik Asmah. Lebih kurang dua kilometer sahaja.

Aku melihat Hazwan yang menunggang motosikal ke masjid sehinggalah dia hilang dari pandangan.

Kebanyakan kaum lelaki sudah mula memenuhi masjid. Pelanggan juga semakin surut. Aku mengambil kesempatan itu untuk mengisi perutku sendiri.

Sebungkus nasi lemak dicapai. Pesanan Hazwan tiba-tiba berdengung di dalam kepalaku.

"Perut akak tu bukannya tahan sangat."



Aku tersenyum kecil. Tanganku diletakkan di atas perut. Perutku memang tak tahan. Selalu sangat sakit. Pesanan Hazwan itu mungkin kerana dia pernah beberapa kali ternampak mukaku berkerut menahan sakit. Aku beritahunya bahawa aku mudah sakit perut sekiranya tak makan pada waktu yang sepatutnya.

Mungkinlah ianya tidak benar seratus peratus tetapi aku berani jamin ianya benar sebanyak lima puluh peratus. Doktor Afsheen sentiasa beritahu aku untuk makan tepat pada masanya dan makan makanan yang tertentu sahaja.

Oh ya! Baru aku teringat!



"Hani, kamu kena elakkan makanan yang pedas tau. Saya tahu kamu sangat sukakan makanan yang pedas tapi ianya langsung tak bagus untuk perut kamu."

Pesanan Dr. Afsheen pula yang berdengung di dalam kepalaku menggantikan pesanan Hazwan. Aku merenung bungkusan nasi lemak yang masih belum terusik itu.

Nasi lemak itu sangat sedap. Sambalnya tak terlalu pedas dan agak manis. Ikan bilisnya pula digoreng rangup. Nasi dia sahaja boleh buat aku terliur. Berlemak dan luar biasa sedapnya. Aku tak pasti siapa pembuatnya tapi, kalau aku dapat bertemu dengan pembuatnya, aku pasti akan memuji-muji nasi lemak buatannya itu.

Macam mana ni? Aku tak boleh makan makanan pedas. Tapi, nasi lemak ni sedap sangat.

Hm.. Biarlah. Aku makan nasinya sahaja. Sambalnya aku letakkan di tepi.



Aku menarik salah sebuah kerusi yang ada di situ. Cik Asmah memang menyediakan sebuah meja bulat dengan dua buah kerusi untuk dijadikan tempat berehat sementara menunggu pelanggan. Aku dan Hazwan biasanya makan di situ.

Sedang aku sedang menjamah makanan tengahariku, kedengaran suara Hazwan menyapa dari belakang, "Akak baru makan eh? Akak makanlah. Biar saya jaga gerai."

Aku hanya mengangguk dan menghabiskan makananku. Setelah selesai, aku mengambil botol air mineralku dan meneguk air tersebut.



"Eh.. Akak tak makan sambal? Akak bukan suka ke dengan sambal ni?" Hazwan menegurku sambil menarik sebuah kerusi lagi lalu duduk di atasnya.

Aku hanya tersengih. Memang aku suka sangat dengan sambal ni tapi apakan daya, Allah tidak lagi mengizinkan aku untuk merasanya. Tak apa lah.

"Akak ni peliklah. Sejak bila pula akak minum air kosong ni? Bukan akak suka minum air sirap limau ke kalau makan nasi?" Hazwan bertanya lagi sambil matanya merenung ke arahku botol mineral yang kupegang.

Aku segera menutup botol air tersebut dan membuang bungkusan nasi lemak tadi ke dalam tong sampah yang disediakan oleh Cik Asmah di gerainya itu. Hazwan pasti sedar tentang kebanyakan perkara yang berubah tentangku. Dia sentiasa teliti dan mudah menyedari sebarang perubahan kecil.

"Dah la. Awak ni semua sedar. Tak apa la. Akak nak ubah selera sikit. Akak banyak sangat telan benda berasid sebelum ni. Mungkin sebab tu perut akak selalu sakit," aku menjawab separuh jujur. Doktor Afsheen ada memberitahu bahawa makanan yang selalu aku makan itu sebenarnya berasid.



Ia mungkin bukan sebab kepada pertumbuhan tumorku tapi masih, aku perlu menjauhinya kerana ia mungkin akan menyebabkan kesakitan yang lebih teruk. Sekali lagi aku menyentuh perutku. Sejak meninggalkan hospital dua hari lepas, kesakitan yang aku alami makin dahsyat sampaikan aku tak dapat tidur malam semalam.

"Akak, akak tak ada boyfriend ke?" suara Hazwan tiba-tiba menggegarkan aku. Terbuka luas mataku mendengar soalannya itu. Apa jenis soalan tu?

"Seriously kak? Mana abang yang selalu datang gerai ni dulu. Dah lama saya tak nampak dia," Hazwan bertanya. Ya.. Jelas sekali aku tahu siapa abang yang dimaksudkan oleh Hazwan.

Belum sempat aku hendak membuka mulut untuk menjawab soalan Hazwan, telefon bimbitku berbunyi. Aku mengeluarkan telefon bimbitku yang serba sederhana itu dari poket seluarku.

Suara yang aku dengar di hujung talian sedikit mengejutkan.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------



"Hani Hayani?" aku bersuara. Aku tahu dia yang menjawab salamku tadi.

"Ya, saya," akhirnya, dia bersuara.

"Ini Doktor Afsheen bercakap. Hani, awak dekat mana ni?" aku bertanya dengan suara yang mendesak. Aku dapat rasakan degupan jantungku yang terlalu laju, memaksa suara berbaur desakan terkeluar.

"Saya ada kerja sikit. Saya dekat-dekat area rumah saya. Kenapa?"

"Kita perlu berjumpa. Banyak yang saya perlu tanya pada awak. Bila kita boleh berjumpa?"

"Bila doktor nak jumpa saya?"

"Secepat mungkin!" aku menjawab soalan itu dengan pantas.

"Saya mungkin akan habiskan kerja saya petang ni," dia memberitahu.

"Kalau macam tu, saya jumpa awak selepas Maghrib. Saya perlu selesaikan kerja di hospital," aku memberi kata putus.

"Di mana saya nak jumpa doktor?"

"Awak tentukan tempatnya. Saya harap kita dapat berjumpa di suatu tempat yang mudah untuk kita bercakap," sungguh, aku tidak begitu kisah di mana sahaja kami berjumpa asalkan aku boleh bercakap dengan Hani Hayani dengan selesa.

"Baiklah. Saya akan hantar mesej pada doktor nanti."



Belum sempat aku hendak mengucapkan selamat tinggal atau bye, Hani sudahpun memutuskan talian. Mungkin dia agak sibuk pada ketika ini.

Apapun, aku akan pergi berjumpa dengannya malam ini. Ada beberapa perkara yang aku harus selesaikan dengan gadis ini sebelum apa-apa terjadi pada dia.

Seketika kemudian, sebuah mesej pesanan ringkas memasuki telefon bimbitku. Ianya adalah dari Hani Hayani.

"Fairy Tale Bakery. Berdekatan dengan Parkson Grand di taman perumahan saya."



------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tepat jam lapan malam, selepas menunaikan solat Maghrib, aku meninggalkan rumahku. Aku memberitahu mak cik yang aku ingin keluar berjumpa kawan. Aku tahu dia berasa pelik ke mana aku hendak pergi dan dengan siapa aku hendak berjumpa, aku menanti sebarang soalan darinya. Namun, hampa. Dia tidak bertanya apa-apa.

Putus asa untuk menunggu kebenaran atau sebarang soalan dari mak cik, aku terus mencapai helmet dan beg galasku.

Tak sampai 10 minit, aku sudah berada di atas motosikalku di hadapan Fairy Tale Bakery, tempat yang telah aku tetapkan untuk bertemu dengan Dr. Afsheen.

Aku melihat sekitar bagi meninjau kereta Dr. Afsheen yang kemungkinan telah tiba lebih awal daripadaku. Hm.. Nampaknya, Dr. Afsheen masih belum sampai. Tiada pun kereta Hondanya itu.

Aku menarik keluar telefon bimbitku dari poket seluar. Aku mencari nama Dr. Afsheen dalam contacts list. Aku kemudiannya menekan butang hijau untuk menghubungi Dr. Afsheen.



"Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi .....," suara seorang perempuan kedengaran. Aku segera memutuskan talian memandangkan aku tahu yang Dr. Afsheen memang tidak akan menjawab panggilan tersebut.

Ke mana pula dia pergi? Katanya nak jumpa malam ini.

Sementara menunggu di atas motosikalku, aku berkira-kira tentang apa yang bakal aku dan Dr. Afsheen bualkan nanti. Mungkin dia akan bertanya khabarku, akan bertanya tentang sakitku, tentang ubat dan sebagainya yang berkaitan.

Atau, adakah dia nak aku kembali ke hospital?

Heh.. Mustahillah. Siapa nak tolong aku bayarkan duit hospital? Yang lepas pun tak terbayar aku dibuatnya.

Allah..beratnya..



"Oleh itu, tetapkanlah kepercayaan kamu, sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. Sekali lagi ditegaskan, sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan." [Surah Asy-Syarh :  5-6]
Aku tak sepatutnya rasa susah kan? Allah kan ada? Semua rasa susah dan derita ni akan pergi nanti. Semuanya perlukan kesabaran. Allah kan suka manusia-manusia yang bersabar?

"Innallahu ma'as sobirin." (Allah bersama dengan orang-orang yang sabar)
Daripada aku bebankan diri aku dengan memikirkan bil hospital yang tak berbayar, rasanya lagi baik aku fikirkan cara untuk kumpul duit secukupnya untuk bayar bil tu.

Eh.. Sebab itu kah? Sebab bil hospital yang belum berbayar. Jadi, mungkin Dr. Afsheen hendak berjumpa dengan aku kali ini adalah kerana dia mahu aku melunaskan bil hospital.

Bagaimana kalau itu yang terjadi?

Aku akan cuba untuk minta penangguhan kalau itu yang perlu.



"Hani Hayani? Apa awak buat dekat sini?" suatu suara menyapa telingaku. Satu suara yang sudah lama tidak aku dengari. Rindu? Mungkin.

"Saya tunggu doktor. Kenapa saya tak dapat call doktor?" aku bertanya sambil menanggalkan helmet.

"Eh? Yeke?" Dr. Afsheen mengeluarkan telefon bimbitnya sambil melintas jalan.

Aku memaut tangan kanannya sambil melintas jalan. Dr. Afsheen ni.. Macam manalah boleh jadi doktor sedangkan melintas jalan pun masih cuai?

"Terima kasih," dia mengucapkan terima kasih apabila menyedari akan kecuaiannya. Dia tersenyum manis ke arahku.

Kami mengambil tempat di luar bakeri tersebut memandangkan bakeri tersebut hanya menyediakan meja dan kerusi di luar kedai.



"Tak ada tempat kat dalam ke? Dekat luar ni, sejuk sikit," Dr. Afsheen bertanya kepadaku.

Aku menggeleng. "Kenapa? Doktor tak tahan sejuk ke?"

Dia ketawa ringan kemudian menjawab,"Bukan saya la. Awak tu. Keadaan badan awak sekarang dah cukup lemah. Saya tak nak awak jatuh sakit sebab selesema nanti. It can make the worse situation become worsen."

Aku mengangguk faham. "Jadi, pendekkanlah pertemuan ni. Saya mungkin akan kena selesema kalau terus terdedah dengan angin sejuk ni."

"Kalau macam tu, kita akan kerap berjumpa. Sebab, saya takkan habis bincang dengan awak hanya dalam masa yang pendek," Dr. Afsheen membalas sambil menghantar pandangan sinis ke arahku.



Aku mengeluh,"Apa yang doktor nak bincangkan sebenarnya ni? Serius betul pandangan tu."

Dr. Afsheen tertawa kecil,"Yeke? Serius sangat ke pandangan saya ni?"

Tangan Dr. Afsheen meletakkan telefon bimbit mahalnya ke atas meja di hadapanku. Seketika kemudian, seorang remaja yang bekerja sebagai pelayan di bakeri itu mendekati kami dan menyuakan dua keping kertas yang tertulis menu.

"Tak ada bateri?" aku bertanya pada Dr. Afsheen.

Dia hanya membalas dengan anggukan dan terus memesan secawan White Coffee. Aku hanya mengikut apa yang dipesannya. Ia akan jadi lebih mudah bagi pembuat air itu nanti.



Dan perbincangan bermula.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.