The Lonely + AdaMu (Part 8)



Aku melangkah masuk ke dalam rumahku. Lampu di ruang tamu masih terpasang, begitu juga dengan lampu dapur. Aku menutup pintu di belakangku. Kereta Asyraf sudah sedia ada di hadapan rumah. Itu bermakna, dia sudah ada di dalam.

Kedengaran bunyi periuk dan senduk saling berlaga. Bunyinya lebih kuat daripada biasa. Itu tak lain tak bukan pasti kerja Asyraf yang masih belum biasa dengan periuk dan senduk. Walaupun sudah hampir setahun kami berkahwin, Asyraf masih tak dapat nak sesuaikan diri dengan barangan dapur. Sebagai seorang suami kepada seorang doktor, aku berharap, dia lebih cekap dengan dapur.



"Apa awak buat ni?" aku meninggikan suara sebaik melangkah masuk ke dapur. 

Aku segera meletakkan beg tanganku di atas meja makan dan meluru ke dapur. Asyraf memang tak berpengalaman. 

Hampir kesemua periuk dikeluarkan dari dalam kabinet. Ada setengah diletakkan di atas meja dan setengah lagi di atas dapur. Aku keliru. Apalah yang cuba dimasaknya sampai begini jadinya. 

Penutup botol sos cili, sos tomato, sos tiram dan kicap berada di atas kaunter, meninggalkan botol-botol itu tidak bertutup. Terdapat beberapa sudu dan garpu di atas kaunter. Keadaan dapur menjadi sangat kucar-kacir. Ada setompok air tertumpah di atas lantai. Hampir sahaja aku tergelincir apabila berjalan di atasnya, mujurlah tanganku cepat mencapai lengan Asyraf. 

"Saya cuba nak masak," Asyraf menarik tanganku supaya aku dapat menyeimbangkan tubuhku. 

"Masak apa? Paprik?" aku bertanya soalan apabila melihat bahan-bahan yang digunakan. Pandai pula dia nak masak paprik.



"Masak maggi je la," dia mendengus. 

Aku melihat semula keadaan dapur rumahku itu. Masak maggi sampai macam ni jadinya? Betul, aku tak percaya! Takkan masak maggi guna kicap?

"Maggi apa guna kicap?" aku menyoal sambil tanganku segera mencapai penutup keempat-empat botol tersebut lalu menutupnya. 

"Saya rasa macam pernah dengar orang masak maggi guna kicap," Asyraf cuba membela diri.

Merepek.

"Awak buat apa yang saya suruh sahaja. Faham?" aku mula mencapai semua bahan yang diperlukan.



Kalau tak diajar, mungkin dia takkan belajar sampai bila-bila. Aku memberi arahan satu persatu kepada Asyraf dan minta untuk dia ingat semuanya. Dan dia, dia hanya menurut tanpa melawan. Sambil menyuruh, aku juga membantu Asyraf dengan mengemaskan dapur yang habis diselerakkan.

Selepas 15 minit, dua mangkuk maggi siap dihidangkan di atas kaunter. Dua gelas air sejuk dijadikan minuman.

"Ingat cara nak masak maggi ni. Saya tak nak awak lupa lagi," aku memberitahu sambil mencapai dua pasang chopstick lalu menghulurkan satu kepadanya.

"Saya tak pandailah guna bendalah ni. Bagi garfu je la," dia menolak.

Banyak pula hal dia ni.


"Ambil sendiri," aku meletakkan chopstick yang dihulurkan kepadanya ke kaunter. Aku menolak bekas yang meletakkan sudu dan garfu ke arah Asyraf.

Seketika, kami berdua menjamah makanan kami tanpa suara. Hanya bunyi hirupan mee sahaja kedengaran.

"Oh ya. Saya terlupa nak beritahu awak sesuatu," dia mengangkat wajahnya sambil tangan sebelah kiri mengelap hujung bibirnya. Aku menyuakan tisu padanya.

"Apa?"

"Mama awak call saya tadi. Dia cakap dia call awak tak dapat jadi dia call saya. Mama nak datang hospital esok......"

"What?! Why?! When?!" terus meluncur tiga soalan pendek dariku. Mataku terbuka luas seluas-luasnya setelah mendengar hal itu. Perkara seperti itu memang menjengkelkan. Bukan aku tak suka Mama datang ke hospital tapi aku bimbangkan apa yang akan terjadi kalau mereka nampak Mama melawat aku di hospital.

"Awak ni.. Cuba bawa bertenang. Bagilah saya habis cakap dulu," dia menarik muka. Mukanya jelas memberitahu, 'kenapa awak ni gelabah sangat?'

"Saya dah halang Mama, bersyarat ok? Itu je yang mampu," dia menyambung setelah selesai merenung tajam ke arahku.



"Kenapa awak perlu buat semua perkara bersyarat ha? Apa syaratnya?" satu benda yang aku tak suka tentang Asyraf adalah dia pakar berunding. Semua perkara bagi dia adalah satu rundingan dan bagi aku pula, ia tak begitu. Hidup ni bukannya berjalan macam sistem barter!

"Saya cakap, kita akan balik rumah Mama untuk makan malam esok. Jadi, Mama tak boleh datang hospital. Kalau, kita tak boleh makan malam di rumah Mama esok, kita akan habiskan hujung minggu di rumah Mama," dengan tenang dia memberitahu sambil mengacau saki baki mee di dalam mangkuknya.

Apa ni? Aku sentiasa menyampah dengan perangai dia yang kuat berunding.



"Jangan risau la. In shaa Allah, saya boleh makan malam dekat rumah Mama esok, jadi saya akan pergi. Awak pula, kalau tak boleh pergi, awak kenalah habiskan hujung minggu awak dekat rumah Mama," dia menyambung lagi.

"Anyway, saya tak ada hujung minggu ni. Saya ada konferens di Kuala Lumpur."

Aku mengeluh. Aku tak dapat nafikan betapa bijaknya dia tapi sungguh, aku tak suka perangai dia yang kuat berunding. Entahlah.. Mungkin sebab tu, sampai sekarang pun, aku tak boleh percayakan dia. Aku merasakan perkahwinan kami hari ini bagaikan dibentuk melalui rundingan juga walaupun hakikatnya, aku tak tahu apa yang berlaku.



********************

Hari ini, semuanya serba tak kena. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang mengganggu aku. Sejujurnya, aku rasa tak selesa. Bukan sebab perut aku yang sakit tetapi aku dapat rasakan aku seolah-olah sedang diperhatikan.

Belum pernah aku rasa begini. Berulang-ulang kali aku menyebut kalimah 'la hawla wa quwatan illa billah'. Aku rasa sedikit terancam. Aku cuba juga melihat ke luar rumah melalui tingkap. Satu-satunya perkara ganjil yang aku dapat lihat ialah kereta Proton Saga berwarna hitam yang sejak awal pagi lagi sudah berada di hujung jalan.

Selain dari itu, semuanya biasa sahaja.



Walaubagaimanapun, aku melakukan kerjaku seperti biasa. Aku menghantar kuih-muih ke kedai-kedai untuk dijual dan membantu Mak Cik dengan kerja-kerja di dapur. Aku juga menyelesaikan semua kerja rumah seperti biasa memandangkan Mak Cik takkan pernah sempat menyelesaikannya sendiri.

Aku teringat akan saat-saat aku berada di hospital. Aku tak pernah penat. Aku tiada sebarang pekerjaan untuk dilakukan melainkan duduk dan berehat sahaja di atas katil. Yang lebih membuatkan aku rasa pelik ialah, aku tidak langsung berasa bosan.

Aku terus menonton TV, berbual dengan semua orang dan membaca. Itulah hobi aku di hospital. Kepala rasa ringan dan sakit juga tak terasa seperti sakit lagi. Haha!

Perhatian yang aku dapat dari para jururawat di sana dan kawan-kawan lain buatkan aku rasa senang hati. Layanan Dr. Afsheen apatah lagi. Sentuhannya sahaja boleh buatkan aku rasa damai dan terlindung. Mungkin kerana sikapnya yang lembut dan penyayang terhadap pesakit buatkan aku rasa begitu.



Nampaknya, aku sudah kembali ke alam realiti di mana hidup yang abadi dan bersenang-senang itu hanyalah di sana nanti.

Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan main-main sahaja. Dan sungguh, kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya? [Surah Al-Ankabut : 64]

Sepotong ayat yang Abang selalu ingatkan pada aku. Abang gunakan ayat ini untuk lembutkan hati aku setiap kali aku dimarahi oleh Mak Cik. Kadang-kadang, aku juga rasa seperti ingin meledak marah, tapi Abang lah yang selalu bertindak menyejukkan hatiku.



Dia mungkin bukan abang kandungku dan kami hanyalah saudara susuan tapi bagi aku, Abang adalah abangku yang sebenar. Tidak akan ada manusia lain yang dapat gantikan tempat Abang. Abang bertindak melindungi dan menjaga aku dalam erti kata yang tidak dapat difahami oleh orang lain.

Setiap kali aku menangis, Abang tidak memujukku dengan gula-gula atau aiskrim tetapi Abang akan pujuk dengan kata-kata yang jauh lebih manis dari semua tu.

Jangan menangis ya, adik abang. Allah sayangkan kamu dan Dia nak kamu ingat padaNya. 

Kata-kata itulah yang mengukuhkan aku dari hari ke hari. Susah senang, jatuh bangunku, aku sentiasa ingat pesan Abang walaupun sampailah sekarang di mana Abang sudahpun berkahwin.

Aku doakan Abang bahagia dengan Kak Aida sampailah ke syurga nanti. Amin...

Rasa pedih kembali menusuk perutku, mematikan segala ingatan kepalaku tentang Abang. Allah..

Aku segera bergerak ke bilikku.

********************



"Tahu tak yang sebenarnya nombor telefon yang ada pada borang masuk hospital Hani Hayani ni sebenarnya palsu?," Asyraf bersuara di hujung talian.

"Kenapa dia hanya palsukan nombor telefon dan bukannya alamat?" aku bertanya.

"Dia mesti tak sangka yang kita akan cari dia sampai ke rumah atau mungkin juga dia mahu kematiannya nanti diberitahu kepada ahli keluarganya," Asyraf bersuara perlahan. Dia mungkin tidak berniat untuk menyinggung hatiku.

"Ada logiknya juga. Anyway,ada perkembangan tak dari penyiasat persendirian awak tu?" aku bertanya lagi sambil jantungku berdegup separa kencang.

"Betul cakap awak. Dia dekat rumah Mak Cik Subaidah. Dia bekerja seperti biasa dan kehidupannya normal. Dia hanya kelihatan sedikit sakit dan lemah. Dia berulang kali keluar dari rumah untuk bantu Mak Cik Subaidah," Asyraf bersuara seperti seorang pegawai yang sedang membuat laporan kepada ketuanya.



Aku mendengar dengan teliti.

Jadi betullah apa yang aku sangka. Hani Hayani tak lari jauh pun. Dia tetap akan balik ke rumah Mak Ciknya juga. Lagipun, setahu aku, dia tiada tempat lain untuk berlindung selain di rumah itu.

"Saya ada nombor telefon bimbit Hani. Saya akan hantar pada awak nanti. Saya perlu pergi sekarang," talian terputus.

Seketika kemudian, sebuah teks masuk ke dalam Xperia SLku melalui aplikasi Whatsapp.

Aku merenung skrin, merenung nombor tersebut. Berfikir. Mungkin aku patut menghubungi Hani Hayani. 


Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

4 Responses to The Lonely + AdaMu (Part 8)

Anonymous said...

kite dah bace dah .. best bestt
hehe :D

Mimi Jazman said...

Anonymous ...

Kite x suruh bce pon! :p

Anyway..time kasih sbb sudi bce.. :)

jazakillau khair.. :)

Syazwina Zamre said...

Ni kite laaa mimi ..Awin ,hheheh .

Mimi Jazman said...

Syazwina Zamre ...

kite tahu.. :)

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.