The Lonely + AdaMu (Part 6)



Aku baru sahaja selesai menghantar kuih-muih pada Puan Jannah yang memesan kuih-muih dari Mak Cik. Kata Mak Cik Piah, dia akan mengadakan sedikit jamuan untuk majlis hari jadi anaknya yang bongsu, sebab itulah dipesannya kuih dari Mak Cik. Aku hanya mengangguk faham dan segera meninggalkan rumah besar itu. 

Sebuah kereta Honda City bergerak melepasi aku ketika aku sedang mula menghidupkan enjin motosikal. Buat seketika, aku merenung kereta itu. Nampak macam kenal. Aku rasa, aku pernah melihat kereta itu. Platnya macam familiar. Aku cuba berfikir, di manakah aku melihat kereta tersebut, malangnya, tiada apa yang dapat aku ingat.



Cuaca agak panas. Perutku pula sudah mula rasa tidak selesa. Ia pasti sudah kembali lagi! Termasuk sekarang ini, sudah 3 kali perutku sakit sejak meninggalkan hospital. Aku hanya berharap sakit ini akan lekas berlalu seperti yang sebelumnya. 

Aku segera bergerak meninggalkan kawasan perumahan Puan Jannah dan menuju balik ke rumah Mak Cik. Risau juga kalau-kalau perutku ini akan menyebabkan sesuatu yang lebih teruk nanti. 

Semalam, aku tinggalkan hospital senyap-senyap. Aku juga tidak menyangka ia akan jadi sebegitu mudah. Pada mulanya, aku fikir, hospital kerajaan seperti itu, pasti sukar untuk aku menyusup keluar. Mungkin akan ada lebih banyak pengawal yang menanti di pintu-pintu tertentu.

Tapi, sangkaanku meleset. Kawasan hospital semalam agak lengang tanpa pengawal yang bergerak ke sana sini. Mungkin CCTV dapat menangkap pergerakanku tapi itu bukan satu masalah pun. Aku bukannya mencuri. Aku hanya 'keluar' dari hospital tersebut

Mak Cik agak terkejut apabila aku mengetuk pintu rumah lebih kurang pukul 2 pagi semalam. Pastinya Mak Cik terkejut melihat aku. Dengan berseluar dan berbaju gelap, aku tak ubah kelihatan seperti seorang pencuri. Dan malam itu juga, setelah aku dikenalpasti oleh Mak Cik, sekali lagi, aku dimarahi dan ditampar lagi. 

Perkara biasa. Rasanya, pipiku ini dah semakin kenyal dan kental akibat ditampar hari-hari.



Ya.. Usiaku 28. Tapi, untuk melawan Mak Cik, aku tiada daya untuk melakukannya. Bukan kerana aku tidak mampu, tapi bila mengenangkan semula kebaikan hati Mak Cik mengambil aku untuk dijadikan anak angkat, aku jadi tidak sampai hati nak melawan Mak Cik. Selama ini, sekalipun dengan penuh benci, Mak Cik lah yang bertanggungjawab menjagaku. 

Aku mengetuk pintu rumah dan kemudian memulas tombol lalu melangkah masuk ke dalam. Mak Cik kelihatannya sedang menantiku di atas sofa dengan mukanya yang merah padam. Aku hanya melihat wajah marah itu. Aku terkeliru. Aku tidak pasti di manakah salahku untuk Mak Cik sekali lagi marah.



"Kenapa kau bagitau pada dia yang kau tu anak angkat?!" suara Mak Cik terus meninggi padaku. Aku sedikit tersentak. 

"Siapa yang Mak Cik maksudkan ni?" aku cuba berlembut walaupun aku yakin tiada gunanya aku melakukan perkara itu. Selembut mana sekalipun aku, suara Mak Cik terhadapku takkan berubah. 

"Doktor tu datang tadi cari kau!" Mak Cik memandang aku dengan penuh meluat. 

"Doktor?" aku agak terkejut mendengar perkataan itu ketika berada di rumah ini. Semasa di hospital, ia tidak kedengaran sedemikian janggal. Tetapi, di rumah ini, perkataan 'doktor' itu sangatlah aneh.

Otakku mula bergerak memikirkan sesuatu. Doktor Afsheen datang cari aku?

Doktor Afsheen? Oh ya! Betullah! Jadi, betullah Doktor Afsheen yang datang mencari aku. Kereta Honda City hitam tadi rupanya milik Doktor Afsheen. Patutlah ia kelihatan macam biasa dilihat. 

"Kenapa dia ke sini?" aku bertanya. Pandanganku dihala tajam ke wajah Mak Cik. 

"Dia tanya pasal kau la! Yang kau lari dari hospital tu kenapa? Menyusahkan aku je la kau ni!" Mak Cik mula mendekati aku. Aku sudah bersedia, bersedia untuk sekali lagi ditampar.

"Saya tak ada duit nak bayar bil hospital," aku memberitahu sambil mataku memberi sepenuh tumpuan pada hujung jari kakiku. Aku tak mampu menahan renungan tajam Mak Cik apabila bercakap tentang hal duit. Aku akan rasa sangat sedih dengan nasibku dan mula menyalahkan takdir kerana hidupku ini. 

"Dah kau tahu kau tak ada duit, kenapa kau pergi jugak hospital tu? Kau ni mengadalah! Kau ingat tinggal dekat hospital tu murah ke? Sakit sikit dah pergi ke hospital. Beli ubat cukuplah!" Mak Cik menjerkah aku. 

PANGG! Pipiku ditampar.



Dan cukuplah perbualan kami berdua di situ. Mak Cik biasanya begitu. Marah dan bising lalu menamparku. Aku dah cukup arif dengan sikap Mak Cik terhadapku. Sejak kecil sehinggalah aku dewasa, tiada satu perkara pun yang berubah. 

Dia akan bertanya pelbagai soalan tetapi jarang sekali dia ingin mendengar jawapan. Kadang-kadang, terdetik juga di hatiku, mengapa Mak Cik mengambilku sebagai anak angkat kalau dia hanya menganggap aku tak lebih daripada bebanan dalam hidupnya?



Tiba-tiba, deria rasaku kembali mengesan rasa sakit pada perutku. Aku dengan segera bergerak ke bilikku yang terletak berhampiran dengan dapur. Kepalaku memberi arahan supaya berhenti berfikir tentang Mak Cik.

Bilik itu merupakan bilik terkecil di dalam rumah ini. Aku tidak mempersoalkan takdir. Aku tahu, aku sepatutnya bersyukur. Ada orang yang langsung tiada rumah untuk dijadikan tempat tinggal. 

Tudung hitam yang disarung ke kepala aku tarik lalu disangkutkan di hujung kepala katil. Aku menempatkan tubuhku di atas katil. Rasa letih dan sakit kembali bergabung. Sejak kebelakangan ini, rasa sakit di perutku semakin menjadi-jadi. Ada kalanya, perutku akan terasa begitu pedih bagai disiat-siat isinya. Ada masanya juga, perutku hanya sakit-sakit ringan.



Botol kecil di dalam beg dicapai. Sejak semalam, kerjaku ialah menelan ubat. Air mineral diteguk, ubat ditelan. Rasa pahitnya mencengkam kerongkong. Aku kemudiannya kembali berbaring sambil otakku berkerah berfikir bagaimana hendak menghalang Dr. Afsheen dari datang mencariku lagi.

Dia mungkin akan kembali mencariku. Mungkin dia nak pastikan keadaan aku. Aku tahu dia cukup bijak untuk mengetahui mengapa aku meninggalkan hospital itu. Dia sudahpun tahu keadaan kewanganku yang sangatlah terhad.

Jam di tangan dipandang. Sudah hampir pukul 2 petang. Aku masih belum menunaikan solat.
Peliharalah dan kerjakanlah semua solat fardhu secara istiqamah tepat pada waktunya, terutamanya solat Asar dan tunaikanlah solat itu kerana Allah dengan taat dan khusyuk. [Al Baqarah : 238] 
Sebuah ayat Al-Quran terlintas di kepala. Allah..



Perlahan-lahan, sambil tangan menekan perut, aku meninggalkan bilikku menuju ke bilik air yang terletak bersebelahan bilikku.

Bermula dengan nama Tuhanku yang Maha Suci dan tiada tandingan, aku mulakan wudhu'. Setelah selesai, aku tinggalkan bilik air kecil itu dan kembali ke bilikku. Sungguh.. Rasa pedih pada perutku ini amat menyakitkan. Aku terasa bagai ingin sahaja mengeluarkan ususku yang terasa bagai menoreh dinding perutku. Aku perlahankan langkah. Ia pasti akan menjadi sesuatu yang sukar kali ini.

Allah....



Tanganku bergerak memakai telekung dan menghampar sejadah. Aku tahu kemampuanku. Aku mustahil dapat menunaikan solat dalam keadaan berdiri. Aku mungkin akan meraung sahaja nanti. Aku memutuskan untuk solat sambil duduk.
Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Sesungguhnya solat itu adalah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk dalam solat. [Al-Baqarah : 45]
Sesungguhnya, dalam solat itu, ada penawarnya yang tersendiri.

Selesai memberi salam, tubuhku sudah terlalu lemah untuk menampung berat badan sendiri. Dunia tiba-tiba menjadi separuh gelap.

Allah..berat ni..

"Awak tahu keadaan awak agak serius sekarang ni. Kita kena berhati-hati kalau tak mahu keadaan jadi lebih teruk," suara Dr. Afsheen mencucuk gegendang telingaku.




Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.