The Lonely + AdaMu (Part 5)

Tiga jam kemudian, aku berada di hadapan sebuah rumah yang kecil. Bahagian hadapan rumah itu terdapat lapisan simen keras yang pecah-pecah. Sudah terlalu lama, barangkali. Pagar hampir runtuh yang memagari rumah itu dikunci dengan buah mangga yang besar.

Aku beri salam berkali-kali. Aku tahu, sekalipun rumah ini kecil, suara kecilku memang payah nak sampai ke dalam rumah.

Setelah berulang-ulang kali memberi salam sambil berdiri di hadapan pagar itu, akhirnya, jiran dari sebelah rumah kecil keluar dan menjengah ke luar pintu, ke arahku. Aku hanya membalas dengan senyuman.



"Rumah ni ada orang tak?" aku bertanya lembut pada seorang perempuan pertengahan usia yang sedang menjengah dari balik pintu rumahnya.

Perempuan itu akhirnya memberanikan diri untuk keluar dari rumahnya. Dia membalas senyumanku.

"Ada. Biasalah tu. Kalau dah dekat dapur, susah nak dengar orang kat luar ni memanggil ha! Sekejap ye, mak cik ke belakang kejap. Kamu tunggu sini," kata perempuan yang menggelarkan dirinya mak cik itu. Dia nampak ramah. Wajahnya dihiasi senyuman manis walaupun jelas di wajahnya kerutan akibat proses penuaan.

Seketika menunggu sambil separuh tangan tersangkut pada pagar, akhirnya, tuan rumah yang dinanti-nantikan itu keluar juga dari rumahnya. Aku tersenyum memandang wajah tuan rumah.

Hidungnya mancung dan mulutnya lebar. Matanya sedikit dan keningnya nipis sahaja. Kulitnya sangat berbeza dengan jiran sebelah rumahnya. Tuan rumah ini memiliki kulit yang cantik. Tiada kedutan yang begitu jelas ketara dan bentuk badannya juga tidak menunjukkan yang dia sedikit berusia seperti jirannya.

Malangnya, senyumanku hanya dibalas dengan pandangan yang seolah-olah terkejut. Seketika, tuan rumah terkesima melihat aku. Aku mula terfikir, adakah kerana wajahku yang ke'cina'an ini yang membuatkan dia terkejut sehingga demikian?



"Subaidah? Kau ni kenapa? Tu ha! Ada orang depan rumah kau tu. Dari tadi bagi salam. Kau kat belakang tak jawab-jawab. Tu yang aku pergi panggil tu," mak cik tadi cuba menyedarkan tuan rumah yang hanya tercegat di hadapan muka pintu tanpa menunjukkan tanda-tanda ingin membenarkan aku masuk ke rumahnya.

"Subaidah! Kot ye pun kau terkejut. Jemputlah budak tu ke dalam dulu! Kesian budak tu berpanas!" mak cik tadi terus meninggikan suara seolah-olah dia sedang bercakap dengan seorang tuli.

Aku hanya tersengih dan dalam hati, aku sedikit bersyukur dengan tindakan mak cik itu. Matahari sudahpun terpacak tepat di atas kepala aku. Peluh mula terpercik ke dahiku.

Tuan rumah yang lebih dikenali dengan Subaidah tadi bagaikan tersedar. Dia terus menarik kunci rumah dari balik pintu dan meluru ke arah pagar lalu membukanya. Dia tidak mengucapkan walau sepatah perkataan untuk menjemputku masuk ke dalam rumah tetapi sebaliknya, dia hanya mengisyaratkan dengan tangan, mempersilakan aku ke dalam rumah.



Aku hanya menurut dengan penuh rasa syukur. Dia tidak perlu bersopan, kalau dia tidak inginkannya. Aku susah rasa cukup lega apabila aku sudah tidak lagi perlu berdiri di tengah panas.

Aku segera melangkah masuk ke dalam rumah kecil itu. Mak Cik Subaidah terus sahaja menuju ke dapur setelah menyuruhku duduk dengan sepatah perkataan, "Duduklah!"

Aku mengambil tempat di atas sebuah sofa yang kelihatan sudah lusuh berwarna coklat. Saat aku duduk di atasnya, spring dari dalam sofa itu terasa mencucuk-cucuk. Bau harum makanan berupa kuih-muih dapat aku hidu dari bahagian dapur rumah kecil itu. Sangat sedap dan menyelerakan. Sesuailah dengan kehendak perutku yang sudah mula berkeroncong.

"Apa awak nak?" Mak Cik Subaidah bersuara tanpa nada padaku selepas meletakkan segelas air sejuk di hadapanku.

"Saya, Dr. Afsheen. Mak Cik ni, ibu angkat pada Hani ke?" aku bertanya sopan walaupun aku sedikit terluka dengan sikapnya yang dingin.

"Macam mana kau tahu aku ni ibu angkat dia?" Mak Cik Subaidah kelihatan terkejut dengan soalanku dan terus merenungku dengan pandangan tajam. Dan di sebalik renungan itu, aku dapat rasakan getaran kebencian.

"Hani yang beritahu pada saya. Dia adalah pesakit saya. Dan, hari ini, dia didapati hilang dari wad," aku cuba menerangkan walaupun hatiku agak berdebar apabila Mak Cik Subaidah merenungku tajam.



"Aku tak pedulilah pasal budak tu! Aku nak kau keluar sekarang jugak. Aku ada banyak kerja lagi nak buat!" bentakan dan kekerasan suara Mak Cik Subaidah sangat tidak menyenangkan. Dia bukan sahaja menolak ke tepi adab dan tatasusila sebagai seorang wanita Melayu menyambut tetamu, tetapi dia juga sudah menghalau aku keluar dari rumah.

Adakah wanita ini menganggap aku sebagai satu ancaman?

"Aku cakap keluar sekarang! Kalau tak, aku telefon polis," Mak Cik Subaidah bersuara lagi dan kali ini, berbaur ugutan dan cemas.

"Mak Cik, saya hanya nak tahu di mana Hani sekarang. Dia perlu dapatkan rawatan sebelum apa-apa terjadi pada dia," aku cuba menerangkan. Aku ingin kekal di situ dan mencari maklumat tentang keberadaan Hani. Aku mahu tahu di mana dia berada.

"Aku tak tahu la! Aku tak rasa aku peduli pun!"

Mak Cik Subaidah akhirnya bertindak agresif dengan menarik tanganku. Aku lekas menyambar beg tangan yang aku bawa bersama. Aku cuba untuk tidak melawan dan akhirnya, aku berjaya ditolak oleh Mak Cik Subaidah ke depan pintu.



"Mak cik, saya cuma nak tahu dekat mana Hani. Dia ada balik ke sini tak? Mak cik tahu  tak dia dekat mana? Kenapa mak cik tak melawat dia di hospital?" sementara aku ditolak ke pintu, soalan melantun-lantun keluar dari bibirku.

"Keluar!" akhirnya, Mak Cik Subaidah berjaya mengeluarkan aku dari rumahnya.

BANGG! Pintu dihempas kuat. Aku agak terkejut dengan reaksi Mak Cik Subaidah. Kenapa dengan dia?

Respons Mak Cik Subaidah benar-benar menganggu. Wajahnya yang terkejut pada saat pertama bersua muka. Kebiadapan dan nada suara yang tak menyenangkan. Di samping pandangan tajam berbaur benci yang dilontarkan ke arahku buat aku jadi tertanya-tanya. Mengapa dengan Mak Cik Subaidah ini sebenarnya?



Adakah sesuatu yang tak kena pada diriku?

Atau..adakah dia tidak senang dengan aku yang sedang mencari Hani?

Mungkinkah dia tahu di mana Hani sekarang? Jadi, mungkin sebab itu, dia panik dan cuba menghalau aku dari rumahnya kerana bimbang terlepas cakap tentang Hani.

Hm... Kenapa dengan dia? Dan..Hani..ke mana dia kalau tidak balik ke sini?

Aku menutup pintu kereta dan mula menghidupkan enjin kereta Honda City berwarna hitam milikku. Xperia SL mula berdering dengan melantunkan lagu Suddenly, nyanyian Kim Bo Kyung. Nama yang tertera di skrin ialah ......

"Ya?" aku menjawab.

"Perkembangan?" dia bertanya.

"Tak ada apa-apa untuk dijadikan perkembangan pun. Mak Cik Subaidah, ibu angkat Hani baru sahaja halau saya keluar dari rumah dia," aku mengeluh di hujung ayat.




Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.