Archive for March 2013

The Lonely + AdaMu (Part 9)



"Sebiji kuih 40 sen," aku memberitahu seorang perempuan 40-an. Diiringi dengan senyuman, aku menghulurkan plastik kepadanya.

Beginilah kehidupan aku. Setiap hari Jumaat, aku akan menggantikan anak lelaki Cik Asmah menjaga gerai kuih milik Cik Asmah. Memandangkan Hazwan perlu bersiap awal untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat, aku mulakan tugasku seawal jam 12 tengahari. Selepas menghantar kuih kepada dua buah tempat lain, aku akan terus ke gerai Cik Asmah bagi menghantar kuih yang dibuat oleh Mak Cik dan mengambil alih tempat Hazwan.

"Akak, macam mana, ok?" Hazwan yang siap berbaju Melayu berwarna putih datang menyertai aku di bawah payung besar yang memayungi gerai Cik Asmah.

"Ok je. Macamlah akak tak pernah buat. Awak tak pergi lagi ke?" aku membalas dengan senyuman sambil mengambil duit dari seorang pelanggan lelaki.

"Nak pergi dah ni. Akak dah makan?" Hazwan bertanya dengan nada prihatin.



Aku menggeleng, "Belum lagi. Kejap lagi la kot. Biar pelanggan kurang sikit."

"Akak jangan lewat sangat makan. Perut akak tu bukannya tahan sangat macam perut saya. Ok. Saya pergi dulu kak," Hazwan ketawa kecil lalu beredar ke masjid. Masjidnya tidaklah terletak terlalu jauh dari tapak gerai Cik Asmah. Lebih kurang dua kilometer sahaja.

Aku melihat Hazwan yang menunggang motosikal ke masjid sehinggalah dia hilang dari pandangan.

Kebanyakan kaum lelaki sudah mula memenuhi masjid. Pelanggan juga semakin surut. Aku mengambil kesempatan itu untuk mengisi perutku sendiri.

Sebungkus nasi lemak dicapai. Pesanan Hazwan tiba-tiba berdengung di dalam kepalaku.

"Perut akak tu bukannya tahan sangat."



Aku tersenyum kecil. Tanganku diletakkan di atas perut. Perutku memang tak tahan. Selalu sangat sakit. Pesanan Hazwan itu mungkin kerana dia pernah beberapa kali ternampak mukaku berkerut menahan sakit. Aku beritahunya bahawa aku mudah sakit perut sekiranya tak makan pada waktu yang sepatutnya.

Mungkinlah ianya tidak benar seratus peratus tetapi aku berani jamin ianya benar sebanyak lima puluh peratus. Doktor Afsheen sentiasa beritahu aku untuk makan tepat pada masanya dan makan makanan yang tertentu sahaja.

Oh ya! Baru aku teringat!



"Hani, kamu kena elakkan makanan yang pedas tau. Saya tahu kamu sangat sukakan makanan yang pedas tapi ianya langsung tak bagus untuk perut kamu."

Pesanan Dr. Afsheen pula yang berdengung di dalam kepalaku menggantikan pesanan Hazwan. Aku merenung bungkusan nasi lemak yang masih belum terusik itu.

Nasi lemak itu sangat sedap. Sambalnya tak terlalu pedas dan agak manis. Ikan bilisnya pula digoreng rangup. Nasi dia sahaja boleh buat aku terliur. Berlemak dan luar biasa sedapnya. Aku tak pasti siapa pembuatnya tapi, kalau aku dapat bertemu dengan pembuatnya, aku pasti akan memuji-muji nasi lemak buatannya itu.

Macam mana ni? Aku tak boleh makan makanan pedas. Tapi, nasi lemak ni sedap sangat.

Hm.. Biarlah. Aku makan nasinya sahaja. Sambalnya aku letakkan di tepi.



Aku menarik salah sebuah kerusi yang ada di situ. Cik Asmah memang menyediakan sebuah meja bulat dengan dua buah kerusi untuk dijadikan tempat berehat sementara menunggu pelanggan. Aku dan Hazwan biasanya makan di situ.

Sedang aku sedang menjamah makanan tengahariku, kedengaran suara Hazwan menyapa dari belakang, "Akak baru makan eh? Akak makanlah. Biar saya jaga gerai."

Aku hanya mengangguk dan menghabiskan makananku. Setelah selesai, aku mengambil botol air mineralku dan meneguk air tersebut.



"Eh.. Akak tak makan sambal? Akak bukan suka ke dengan sambal ni?" Hazwan menegurku sambil menarik sebuah kerusi lagi lalu duduk di atasnya.

Aku hanya tersengih. Memang aku suka sangat dengan sambal ni tapi apakan daya, Allah tidak lagi mengizinkan aku untuk merasanya. Tak apa lah.

"Akak ni peliklah. Sejak bila pula akak minum air kosong ni? Bukan akak suka minum air sirap limau ke kalau makan nasi?" Hazwan bertanya lagi sambil matanya merenung ke arahku botol mineral yang kupegang.

Aku segera menutup botol air tersebut dan membuang bungkusan nasi lemak tadi ke dalam tong sampah yang disediakan oleh Cik Asmah di gerainya itu. Hazwan pasti sedar tentang kebanyakan perkara yang berubah tentangku. Dia sentiasa teliti dan mudah menyedari sebarang perubahan kecil.

"Dah la. Awak ni semua sedar. Tak apa la. Akak nak ubah selera sikit. Akak banyak sangat telan benda berasid sebelum ni. Mungkin sebab tu perut akak selalu sakit," aku menjawab separuh jujur. Doktor Afsheen ada memberitahu bahawa makanan yang selalu aku makan itu sebenarnya berasid.



Ia mungkin bukan sebab kepada pertumbuhan tumorku tapi masih, aku perlu menjauhinya kerana ia mungkin akan menyebabkan kesakitan yang lebih teruk. Sekali lagi aku menyentuh perutku. Sejak meninggalkan hospital dua hari lepas, kesakitan yang aku alami makin dahsyat sampaikan aku tak dapat tidur malam semalam.

"Akak, akak tak ada boyfriend ke?" suara Hazwan tiba-tiba menggegarkan aku. Terbuka luas mataku mendengar soalannya itu. Apa jenis soalan tu?

"Seriously kak? Mana abang yang selalu datang gerai ni dulu. Dah lama saya tak nampak dia," Hazwan bertanya. Ya.. Jelas sekali aku tahu siapa abang yang dimaksudkan oleh Hazwan.

Belum sempat aku hendak membuka mulut untuk menjawab soalan Hazwan, telefon bimbitku berbunyi. Aku mengeluarkan telefon bimbitku yang serba sederhana itu dari poket seluarku.

Suara yang aku dengar di hujung talian sedikit mengejutkan.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------



"Hani Hayani?" aku bersuara. Aku tahu dia yang menjawab salamku tadi.

"Ya, saya," akhirnya, dia bersuara.

"Ini Doktor Afsheen bercakap. Hani, awak dekat mana ni?" aku bertanya dengan suara yang mendesak. Aku dapat rasakan degupan jantungku yang terlalu laju, memaksa suara berbaur desakan terkeluar.

"Saya ada kerja sikit. Saya dekat-dekat area rumah saya. Kenapa?"

"Kita perlu berjumpa. Banyak yang saya perlu tanya pada awak. Bila kita boleh berjumpa?"

"Bila doktor nak jumpa saya?"

"Secepat mungkin!" aku menjawab soalan itu dengan pantas.

"Saya mungkin akan habiskan kerja saya petang ni," dia memberitahu.

"Kalau macam tu, saya jumpa awak selepas Maghrib. Saya perlu selesaikan kerja di hospital," aku memberi kata putus.

"Di mana saya nak jumpa doktor?"

"Awak tentukan tempatnya. Saya harap kita dapat berjumpa di suatu tempat yang mudah untuk kita bercakap," sungguh, aku tidak begitu kisah di mana sahaja kami berjumpa asalkan aku boleh bercakap dengan Hani Hayani dengan selesa.

"Baiklah. Saya akan hantar mesej pada doktor nanti."



Belum sempat aku hendak mengucapkan selamat tinggal atau bye, Hani sudahpun memutuskan talian. Mungkin dia agak sibuk pada ketika ini.

Apapun, aku akan pergi berjumpa dengannya malam ini. Ada beberapa perkara yang aku harus selesaikan dengan gadis ini sebelum apa-apa terjadi pada dia.

Seketika kemudian, sebuah mesej pesanan ringkas memasuki telefon bimbitku. Ianya adalah dari Hani Hayani.

"Fairy Tale Bakery. Berdekatan dengan Parkson Grand di taman perumahan saya."



------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tepat jam lapan malam, selepas menunaikan solat Maghrib, aku meninggalkan rumahku. Aku memberitahu mak cik yang aku ingin keluar berjumpa kawan. Aku tahu dia berasa pelik ke mana aku hendak pergi dan dengan siapa aku hendak berjumpa, aku menanti sebarang soalan darinya. Namun, hampa. Dia tidak bertanya apa-apa.

Putus asa untuk menunggu kebenaran atau sebarang soalan dari mak cik, aku terus mencapai helmet dan beg galasku.

Tak sampai 10 minit, aku sudah berada di atas motosikalku di hadapan Fairy Tale Bakery, tempat yang telah aku tetapkan untuk bertemu dengan Dr. Afsheen.

Aku melihat sekitar bagi meninjau kereta Dr. Afsheen yang kemungkinan telah tiba lebih awal daripadaku. Hm.. Nampaknya, Dr. Afsheen masih belum sampai. Tiada pun kereta Hondanya itu.

Aku menarik keluar telefon bimbitku dari poket seluar. Aku mencari nama Dr. Afsheen dalam contacts list. Aku kemudiannya menekan butang hijau untuk menghubungi Dr. Afsheen.



"Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi .....," suara seorang perempuan kedengaran. Aku segera memutuskan talian memandangkan aku tahu yang Dr. Afsheen memang tidak akan menjawab panggilan tersebut.

Ke mana pula dia pergi? Katanya nak jumpa malam ini.

Sementara menunggu di atas motosikalku, aku berkira-kira tentang apa yang bakal aku dan Dr. Afsheen bualkan nanti. Mungkin dia akan bertanya khabarku, akan bertanya tentang sakitku, tentang ubat dan sebagainya yang berkaitan.

Atau, adakah dia nak aku kembali ke hospital?

Heh.. Mustahillah. Siapa nak tolong aku bayarkan duit hospital? Yang lepas pun tak terbayar aku dibuatnya.

Allah..beratnya..



"Oleh itu, tetapkanlah kepercayaan kamu, sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. Sekali lagi ditegaskan, sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan." [Surah Asy-Syarh :  5-6]
Aku tak sepatutnya rasa susah kan? Allah kan ada? Semua rasa susah dan derita ni akan pergi nanti. Semuanya perlukan kesabaran. Allah kan suka manusia-manusia yang bersabar?

"Innallahu ma'as sobirin." (Allah bersama dengan orang-orang yang sabar)
Daripada aku bebankan diri aku dengan memikirkan bil hospital yang tak berbayar, rasanya lagi baik aku fikirkan cara untuk kumpul duit secukupnya untuk bayar bil tu.

Eh.. Sebab itu kah? Sebab bil hospital yang belum berbayar. Jadi, mungkin Dr. Afsheen hendak berjumpa dengan aku kali ini adalah kerana dia mahu aku melunaskan bil hospital.

Bagaimana kalau itu yang terjadi?

Aku akan cuba untuk minta penangguhan kalau itu yang perlu.



"Hani Hayani? Apa awak buat dekat sini?" suatu suara menyapa telingaku. Satu suara yang sudah lama tidak aku dengari. Rindu? Mungkin.

"Saya tunggu doktor. Kenapa saya tak dapat call doktor?" aku bertanya sambil menanggalkan helmet.

"Eh? Yeke?" Dr. Afsheen mengeluarkan telefon bimbitnya sambil melintas jalan.

Aku memaut tangan kanannya sambil melintas jalan. Dr. Afsheen ni.. Macam manalah boleh jadi doktor sedangkan melintas jalan pun masih cuai?

"Terima kasih," dia mengucapkan terima kasih apabila menyedari akan kecuaiannya. Dia tersenyum manis ke arahku.

Kami mengambil tempat di luar bakeri tersebut memandangkan bakeri tersebut hanya menyediakan meja dan kerusi di luar kedai.



"Tak ada tempat kat dalam ke? Dekat luar ni, sejuk sikit," Dr. Afsheen bertanya kepadaku.

Aku menggeleng. "Kenapa? Doktor tak tahan sejuk ke?"

Dia ketawa ringan kemudian menjawab,"Bukan saya la. Awak tu. Keadaan badan awak sekarang dah cukup lemah. Saya tak nak awak jatuh sakit sebab selesema nanti. It can make the worse situation become worsen."

Aku mengangguk faham. "Jadi, pendekkanlah pertemuan ni. Saya mungkin akan kena selesema kalau terus terdedah dengan angin sejuk ni."

"Kalau macam tu, kita akan kerap berjumpa. Sebab, saya takkan habis bincang dengan awak hanya dalam masa yang pendek," Dr. Afsheen membalas sambil menghantar pandangan sinis ke arahku.



Aku mengeluh,"Apa yang doktor nak bincangkan sebenarnya ni? Serius betul pandangan tu."

Dr. Afsheen tertawa kecil,"Yeke? Serius sangat ke pandangan saya ni?"

Tangan Dr. Afsheen meletakkan telefon bimbit mahalnya ke atas meja di hadapanku. Seketika kemudian, seorang remaja yang bekerja sebagai pelayan di bakeri itu mendekati kami dan menyuakan dua keping kertas yang tertulis menu.

"Tak ada bateri?" aku bertanya pada Dr. Afsheen.

Dia hanya membalas dengan anggukan dan terus memesan secawan White Coffee. Aku hanya mengikut apa yang dipesannya. Ia akan jadi lebih mudah bagi pembuat air itu nanti.



Dan perbincangan bermula.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------



Posted in , | Leave a comment

The Lonely + AdaMu (Part 8)



Aku melangkah masuk ke dalam rumahku. Lampu di ruang tamu masih terpasang, begitu juga dengan lampu dapur. Aku menutup pintu di belakangku. Kereta Asyraf sudah sedia ada di hadapan rumah. Itu bermakna, dia sudah ada di dalam.

Kedengaran bunyi periuk dan senduk saling berlaga. Bunyinya lebih kuat daripada biasa. Itu tak lain tak bukan pasti kerja Asyraf yang masih belum biasa dengan periuk dan senduk. Walaupun sudah hampir setahun kami berkahwin, Asyraf masih tak dapat nak sesuaikan diri dengan barangan dapur. Sebagai seorang suami kepada seorang doktor, aku berharap, dia lebih cekap dengan dapur.



"Apa awak buat ni?" aku meninggikan suara sebaik melangkah masuk ke dapur. 

Aku segera meletakkan beg tanganku di atas meja makan dan meluru ke dapur. Asyraf memang tak berpengalaman. 

Hampir kesemua periuk dikeluarkan dari dalam kabinet. Ada setengah diletakkan di atas meja dan setengah lagi di atas dapur. Aku keliru. Apalah yang cuba dimasaknya sampai begini jadinya. 

Penutup botol sos cili, sos tomato, sos tiram dan kicap berada di atas kaunter, meninggalkan botol-botol itu tidak bertutup. Terdapat beberapa sudu dan garpu di atas kaunter. Keadaan dapur menjadi sangat kucar-kacir. Ada setompok air tertumpah di atas lantai. Hampir sahaja aku tergelincir apabila berjalan di atasnya, mujurlah tanganku cepat mencapai lengan Asyraf. 

"Saya cuba nak masak," Asyraf menarik tanganku supaya aku dapat menyeimbangkan tubuhku. 

"Masak apa? Paprik?" aku bertanya soalan apabila melihat bahan-bahan yang digunakan. Pandai pula dia nak masak paprik.



"Masak maggi je la," dia mendengus. 

Aku melihat semula keadaan dapur rumahku itu. Masak maggi sampai macam ni jadinya? Betul, aku tak percaya! Takkan masak maggi guna kicap?

"Maggi apa guna kicap?" aku menyoal sambil tanganku segera mencapai penutup keempat-empat botol tersebut lalu menutupnya. 

"Saya rasa macam pernah dengar orang masak maggi guna kicap," Asyraf cuba membela diri.

Merepek.

"Awak buat apa yang saya suruh sahaja. Faham?" aku mula mencapai semua bahan yang diperlukan.



Kalau tak diajar, mungkin dia takkan belajar sampai bila-bila. Aku memberi arahan satu persatu kepada Asyraf dan minta untuk dia ingat semuanya. Dan dia, dia hanya menurut tanpa melawan. Sambil menyuruh, aku juga membantu Asyraf dengan mengemaskan dapur yang habis diselerakkan.

Selepas 15 minit, dua mangkuk maggi siap dihidangkan di atas kaunter. Dua gelas air sejuk dijadikan minuman.

"Ingat cara nak masak maggi ni. Saya tak nak awak lupa lagi," aku memberitahu sambil mencapai dua pasang chopstick lalu menghulurkan satu kepadanya.

"Saya tak pandailah guna bendalah ni. Bagi garfu je la," dia menolak.

Banyak pula hal dia ni.


"Ambil sendiri," aku meletakkan chopstick yang dihulurkan kepadanya ke kaunter. Aku menolak bekas yang meletakkan sudu dan garfu ke arah Asyraf.

Seketika, kami berdua menjamah makanan kami tanpa suara. Hanya bunyi hirupan mee sahaja kedengaran.

"Oh ya. Saya terlupa nak beritahu awak sesuatu," dia mengangkat wajahnya sambil tangan sebelah kiri mengelap hujung bibirnya. Aku menyuakan tisu padanya.

"Apa?"

"Mama awak call saya tadi. Dia cakap dia call awak tak dapat jadi dia call saya. Mama nak datang hospital esok......"

"What?! Why?! When?!" terus meluncur tiga soalan pendek dariku. Mataku terbuka luas seluas-luasnya setelah mendengar hal itu. Perkara seperti itu memang menjengkelkan. Bukan aku tak suka Mama datang ke hospital tapi aku bimbangkan apa yang akan terjadi kalau mereka nampak Mama melawat aku di hospital.

"Awak ni.. Cuba bawa bertenang. Bagilah saya habis cakap dulu," dia menarik muka. Mukanya jelas memberitahu, 'kenapa awak ni gelabah sangat?'

"Saya dah halang Mama, bersyarat ok? Itu je yang mampu," dia menyambung setelah selesai merenung tajam ke arahku.



"Kenapa awak perlu buat semua perkara bersyarat ha? Apa syaratnya?" satu benda yang aku tak suka tentang Asyraf adalah dia pakar berunding. Semua perkara bagi dia adalah satu rundingan dan bagi aku pula, ia tak begitu. Hidup ni bukannya berjalan macam sistem barter!

"Saya cakap, kita akan balik rumah Mama untuk makan malam esok. Jadi, Mama tak boleh datang hospital. Kalau, kita tak boleh makan malam di rumah Mama esok, kita akan habiskan hujung minggu di rumah Mama," dengan tenang dia memberitahu sambil mengacau saki baki mee di dalam mangkuknya.

Apa ni? Aku sentiasa menyampah dengan perangai dia yang kuat berunding.



"Jangan risau la. In shaa Allah, saya boleh makan malam dekat rumah Mama esok, jadi saya akan pergi. Awak pula, kalau tak boleh pergi, awak kenalah habiskan hujung minggu awak dekat rumah Mama," dia menyambung lagi.

"Anyway, saya tak ada hujung minggu ni. Saya ada konferens di Kuala Lumpur."

Aku mengeluh. Aku tak dapat nafikan betapa bijaknya dia tapi sungguh, aku tak suka perangai dia yang kuat berunding. Entahlah.. Mungkin sebab tu, sampai sekarang pun, aku tak boleh percayakan dia. Aku merasakan perkahwinan kami hari ini bagaikan dibentuk melalui rundingan juga walaupun hakikatnya, aku tak tahu apa yang berlaku.



********************

Hari ini, semuanya serba tak kena. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang mengganggu aku. Sejujurnya, aku rasa tak selesa. Bukan sebab perut aku yang sakit tetapi aku dapat rasakan aku seolah-olah sedang diperhatikan.

Belum pernah aku rasa begini. Berulang-ulang kali aku menyebut kalimah 'la hawla wa quwatan illa billah'. Aku rasa sedikit terancam. Aku cuba juga melihat ke luar rumah melalui tingkap. Satu-satunya perkara ganjil yang aku dapat lihat ialah kereta Proton Saga berwarna hitam yang sejak awal pagi lagi sudah berada di hujung jalan.

Selain dari itu, semuanya biasa sahaja.



Walaubagaimanapun, aku melakukan kerjaku seperti biasa. Aku menghantar kuih-muih ke kedai-kedai untuk dijual dan membantu Mak Cik dengan kerja-kerja di dapur. Aku juga menyelesaikan semua kerja rumah seperti biasa memandangkan Mak Cik takkan pernah sempat menyelesaikannya sendiri.

Aku teringat akan saat-saat aku berada di hospital. Aku tak pernah penat. Aku tiada sebarang pekerjaan untuk dilakukan melainkan duduk dan berehat sahaja di atas katil. Yang lebih membuatkan aku rasa pelik ialah, aku tidak langsung berasa bosan.

Aku terus menonton TV, berbual dengan semua orang dan membaca. Itulah hobi aku di hospital. Kepala rasa ringan dan sakit juga tak terasa seperti sakit lagi. Haha!

Perhatian yang aku dapat dari para jururawat di sana dan kawan-kawan lain buatkan aku rasa senang hati. Layanan Dr. Afsheen apatah lagi. Sentuhannya sahaja boleh buatkan aku rasa damai dan terlindung. Mungkin kerana sikapnya yang lembut dan penyayang terhadap pesakit buatkan aku rasa begitu.



Nampaknya, aku sudah kembali ke alam realiti di mana hidup yang abadi dan bersenang-senang itu hanyalah di sana nanti.

Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan main-main sahaja. Dan sungguh, kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya? [Surah Al-Ankabut : 64]

Sepotong ayat yang Abang selalu ingatkan pada aku. Abang gunakan ayat ini untuk lembutkan hati aku setiap kali aku dimarahi oleh Mak Cik. Kadang-kadang, aku juga rasa seperti ingin meledak marah, tapi Abang lah yang selalu bertindak menyejukkan hatiku.



Dia mungkin bukan abang kandungku dan kami hanyalah saudara susuan tapi bagi aku, Abang adalah abangku yang sebenar. Tidak akan ada manusia lain yang dapat gantikan tempat Abang. Abang bertindak melindungi dan menjaga aku dalam erti kata yang tidak dapat difahami oleh orang lain.

Setiap kali aku menangis, Abang tidak memujukku dengan gula-gula atau aiskrim tetapi Abang akan pujuk dengan kata-kata yang jauh lebih manis dari semua tu.

Jangan menangis ya, adik abang. Allah sayangkan kamu dan Dia nak kamu ingat padaNya. 

Kata-kata itulah yang mengukuhkan aku dari hari ke hari. Susah senang, jatuh bangunku, aku sentiasa ingat pesan Abang walaupun sampailah sekarang di mana Abang sudahpun berkahwin.

Aku doakan Abang bahagia dengan Kak Aida sampailah ke syurga nanti. Amin...

Rasa pedih kembali menusuk perutku, mematikan segala ingatan kepalaku tentang Abang. Allah..

Aku segera bergerak ke bilikku.

********************



"Tahu tak yang sebenarnya nombor telefon yang ada pada borang masuk hospital Hani Hayani ni sebenarnya palsu?," Asyraf bersuara di hujung talian.

"Kenapa dia hanya palsukan nombor telefon dan bukannya alamat?" aku bertanya.

"Dia mesti tak sangka yang kita akan cari dia sampai ke rumah atau mungkin juga dia mahu kematiannya nanti diberitahu kepada ahli keluarganya," Asyraf bersuara perlahan. Dia mungkin tidak berniat untuk menyinggung hatiku.

"Ada logiknya juga. Anyway,ada perkembangan tak dari penyiasat persendirian awak tu?" aku bertanya lagi sambil jantungku berdegup separa kencang.

"Betul cakap awak. Dia dekat rumah Mak Cik Subaidah. Dia bekerja seperti biasa dan kehidupannya normal. Dia hanya kelihatan sedikit sakit dan lemah. Dia berulang kali keluar dari rumah untuk bantu Mak Cik Subaidah," Asyraf bersuara seperti seorang pegawai yang sedang membuat laporan kepada ketuanya.



Aku mendengar dengan teliti.

Jadi betullah apa yang aku sangka. Hani Hayani tak lari jauh pun. Dia tetap akan balik ke rumah Mak Ciknya juga. Lagipun, setahu aku, dia tiada tempat lain untuk berlindung selain di rumah itu.

"Saya ada nombor telefon bimbit Hani. Saya akan hantar pada awak nanti. Saya perlu pergi sekarang," talian terputus.

Seketika kemudian, sebuah teks masuk ke dalam Xperia SLku melalui aplikasi Whatsapp.

Aku merenung skrin, merenung nombor tersebut. Berfikir. Mungkin aku patut menghubungi Hani Hayani. 


Posted in , | 4 Comments

ISLAM dan BAIK adalah DIRI kita yang SEBENAR

Assalamualaikum.. :)



Setelah sekian lama saya tak menulis secara bebas dari CERITA saya tu, saya kembali menulis. :)

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk menulis. Moga dapat dimanfaatkan oleh yang membaca dan yang menulis juga. :)

Ada satu kata-kata yang sebenarnya saya tak pernah setuju dari dulu. Saya dah pernah sebut pun dulu tapi rasanya dah lama sangat dah saya sebut. Jadi, saya nak sebut lagi. Hehe.. :D

Be yourself and the one who accept you yourself is a real friend. 

Betul ke macam tu?



Sebenarnya, betul. Dulu, saya cakap ayat ni salah. Tapi, selepas baca buku Untuk Kita Pendosa dari Hilal Asyraf, saya rasa, ayat ni ada benarnya. :)

Setiap bayi itu lahirnya di atas fitrah. Ibu bapanya dan suasana pembesarannya yang menjadikannya sebagai seorang Yahudi, Nasrani dan Majusi. [HR Bukhari dan Muslim]

Ayat bayi itu lahir di atas fitrah bermaksud, setiap baby yang lahir ke dunia ni sebenarnya lahir dalam keadaan beriman kepada Allah swt. Setiap bayi lahir dalam keadaan beragama Islam.

Agama FITRAH = ISLAM. 
ISLAM = BAIK.  



Jadi, diri kita yang sebenarnya adalah ISLAM dan BAIK! :D

Bila kita disuruh menjadi diri kita sendiri, itu bermakna, kita kena patuh pada syarak dan jadi BAIK sebab itulah diri kita yang sebenarnya.

ISLAMIK dan BAIK itulah sebenarnya diri kita. Kita bukan hipokrit bila kita cuba berubah menjadi lebih baik. Sebaliknya, bila kita cuba jadi baik, itu bermakna, kita sedang mencari diri kita balik.

Bila kita cuba berubah jadi lebih BAIK, kita akan dengar mulut-mulut yang terlebih 'caring' cakap pada kita,

"Kau takyah jadi BAIK sangat la. Hipokrit namanya ni." 

Janganlah marah dengan mereka. Mereka hanya belum faham dan kalau mereka tak faham, jadi kerja kita pula la kan untuk buat mereka faham?? :D

Jangan putus asa eh?? Kita sama-sama bergerak. Moga Allah redha.. :)


4 Comments

The Lonely + AdaMu (Part 7)

Kenapa boleh jadi begitu sama? Kenapa sama? Dia kah atau orang lain? Adakah aku yang silap? Tak.. Mustahil.. Muka tu, suara tu.. Aku yakin itu dia. Tapi, selepas bertahun, takkan dia masih sama?

Dia menarik sekeping gambar keluar. Ya.. Aku yakin, dialah orangnya.



**********

"Awak kena halau keluar?" dia bertanya.

Aku hanya mengangguk. Aku sendiri macam tak percaya dengan apa yang dah berlaku. Adakah aku nampak mencurigakan?

"Mungkin dia rasa terancam kot. Yela. Bersama dengan awak, bersendirian dalam rumah. Kan sekarang banyak kes pukau, mungkin dia takut perkara yang sama jadi pada dia," Asyraf cuba menyakinkan walaupun jelas, dia sendiri meragui kenyataannya.

Kini, aku sudahpun kembali ke hospital, memakai kot putihku. Asyraf datang selepas 30 minit aku berada dalam pejabatku dengan membawa secawan white coffee untuk dirinya sendiri. Sebenarnya, kami cuba untuk kelihatan profesional di hospital. Tak mahu orang lain menganggap aku mengambil kesempatan ke atas kelebihan pangkat yang ada pada Asyraf Amin.



"Tak rasa macam awak dah banyak sangat telan caffeine ke?" aku bertanya padanya.

"Mana ada," dia cuba menafikan sambil membawa cawan plastik itu ke bibirnya.

"Pagi tadi..... Hm... Anyway, lupakan je la. Nak cakap tentang hal lain ni," aku cepat mengelak dari terus bercakap tentang dia. Tidak mahu dia tersalah anggap.

"Tentang apa?" dia bertanya. Matanya tidak memandangku tapi, tepat menikam skrin Xperia SLnya.

Ya.. Kami memiliki telefon dari jenis yang sama. Tapi, ia sebenarnya, merupakan hadiah perkahwinan kami tahun lepas dari Mama. Aku terfikir, dalam banyak-banyak benda, kenapa Mama harus hadiahkan kami telefon pintar dari jenis yang sama. Ia hanya menimbulkan satu rasa aneh dalam diriku.



"Ada contact dengan mana-mana penyiasat persendirian tak?" aku terus ke isi soalan. Tak mahu berkias.

"Awak nak buat apa?" dia kembali bertanya. Matanya beralih ke arahku. Gugup tiba-tiba.

"Saya tak boleh nak awasi rumah Mak Cik Subaidah selalu. Saya kena juga cari Hani Hayani. Keadaan dia agak serius. Saya rasa, Mak Cik Subaidah halau saya tadi, bukanlah sebab saya mengancam dia. Saya rasa, Hani memang ada dekat situ. Jadi, saya perlukan seseorang untuk mengesahkannya untuk saya," aku cuba menerangkan dengan cara paling mudah.

Cara Mak Cik Subaidah seperti dia sedang menyorokkan sesuatu. Kalau betullah Mak Cik Subaidah ada sorokkan sesuatu, perkara tersebut mestilah Hani Hayani. Dia pasti melindungi Hani Hayani. Aku dapat rasakannya.

"Awak nak upah penyiasat supaya siasat rumah Mak Cik Subaidah tu?" Asyraf bertanya seolah-olah tak percaya dengan apa yang telah didengarnya.

"Kenapa?" aku bertanya kembali.



"That is my first time to hear such an idea from you. Manalah awak pernah bagi idea macam tu. Kalau saya cakap sesuatu yang macam tu, awak akan tengok saya macam tak puas hati. Sekarang, bila awak bagi idea macam ni, saya rasa 'tercabar'," Asyraf tergelak di hujung katanya.

Main-main pula dia ni.

"Awak, saya serius ni!"

"Ya. Ok. Saya ada seseorang yang awak boleh hubungi," Asyraf menyentuh skrin Xperia SLnya dan menggerakkan jari mencari-cari sesuatu.

"Tak.. Tak.. Saya akan uruskan hal ni. Saya akan hubungi dia dan beri dia alamat rumah Hani Hayani. Awak jangan risau," dia kemudiannya memasukkan Xperia SLnya ke dalam poket kotnya. Baki white coffee dihirup lagi.

"Biarlah saya yang uruskan. Bagi je la nombor telefon orang tu," aku mendesak. Aku paling rimas jika urusanku diganggu oleh orang lain.

Kalau boleh, aku ingin menyelesaikan semuanya sendiri. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah ke sebesar-besar perkara. Mungkin kerana itu jugalah, aku tidak selesa bekerja bersama dengannya di hospital ini. Ia seolah-olah mengongkongku.



"This is hospital. I am your boss and I won't let my employee to settle hospital's problems on her own," dia memandangku, tajam. Memahami pandangan matanya, aku cuba untuk tidak melawan. Keadaan kami sudah cukup baik untuk dirosakkan.

"I need to go," aku akhirnya  mengalah dan mencapai stetoskop. Aku sudah sedia berdiri, menanti untuk dia keluar.

"I guess, I need to do the same," dia kemudiaannya berlalu setelah menghabiskan baki white coffee dalam cawan plastiknya. Dia berdiri dan menghalakan cawan plastiknya ke dalam tong sampah. Tapi, aku lebih dulu menghalang tangannya dari membuang cawan plastik itu.

"Buang dekat luar. Nanti orang akan ingat awak bawa minuman untuk saya," aku memberitahunya apabila wajahnya jelas kelihatan terkejut dengan tindakanku.

"Itu pun awak nak kira ke?" dia mendengus lalu bergerak meninggalkan tempat itu tanpa banyak soal.

Aku cuma mengambil langkah berjaga-jaga. Aku tak suka digosipkan.

Setelah beberapa ketika dia meninggalkan pejabatku, aku juga turut meninggalkan ruangan itu.



**********

"Assalamualaikum. Encik Kamarudin?" aku segera menghubunginya.

Aku tak mahu kes ini berlarutan. Aku harus selesaikannya secepat mungkin sebelum aku bertemu dengan pihak atasan esok. Mereka pasti takkan gembira dengan hal ni. Sekiranya hal ni sampai ke pihak media, aku bimbang, mereka akan terlebih dahulu menemuramah Hani dan menuduh hospital kerajaan ini yang bukan-bukan.

Sejujurnya, RM800 sebagai kos hospital termasuk penginapan, ubat-ubatan dan rawatan selama dua minggu tidaklah begitu mahal sebenarnya. Tapi, mungkin Hani memang tidak langsung memiliki sebarang simpanan. Aku sudah pun membayar bil tersebut sebelum sesuatu yang lebih dahsyat terjadi.



"Baiklah, terima kasih," aku memutuskan talian selepas bersetuju untuk mengemelkan alamat rumah ibu angkat Hani Hayani kepada Encik Kamarudin.

Apabila aku sudah bersedia untuk meneruskan tugasanku, Xperia SLku kembali berbunyi. Nama yang tertera di skrin, sedikit mengejutkan aku.

"Waalaikumussalam warahmatullah, Mama," aku menjawab salam yang diberikan oleh Mama.

"Hm.. Asyraf, mana isteri kamu ni? Mama call dia banyak kali, dia tak angkat," Mama bersuara tenang di hujung talian.

Ibu mertuaku. Wanita Cina yang masih kelihatan cantik sekalipun sudah berusia. Orangnya tenang dan tak mudah melenting, sedikit berbeza dengan anak tunggalnya, Afsheen.



"Dia ada kerja kot, Mama. Lagipun, dia sibuk sikit waktu-waktu macam ni. Doktor lah katakan," aku menceriakan nada suara bagi melindungi suara gementarku ketika bercakap dengannya.

"Tak apalah kalau macam tu. Mama nak beritahu kamu sesuatu," Mama berbicara dengan suara yang tegas. Kedengaran seperti Mama ingin perkatakan sesuatu yang serius.

"Apa, Mama?"

"Mama nak datang ke hospital kamu esok, tengahari. Kamu berdua susah betul nak datang rumah Mama walaupun rumah kita tak adalah jauh sangat. Jadi, Mama ingat, lebih baik Mama yang datang ke sana," Mama bersuara, tegas.

"Er... Tapi Mama..kalau Mama nak kami ke sana, kami boleh je pergi. Tak ada masalah. Mama tak perlulah bersusah payah ke sini," aku cuba menghalang Mama dari meneruskan rancangannya.



Sekiranya Mama ke hospital, Afsheen takkan maafkan dia. Dia akan dituduh kerana tak bertanggungjawab menghalang ibu mertuanya itu. Afsheen sudah cukup sensitif dengan sebarang isu yang melibatkan mereka berdua di hospital ini. Tak dapat dibayangkan reaksi Afsheen setelah dia mendapat tahu tentang kedatangan ibunya ke hospital ini.

"Mama selalu suruh kamu datang rumah Mama tapi kamu tak pernah pun datang. Mama rasa kamu berdua ni sangat sibuk. Jadi, Mama putuskan untuk pergi ke hospital. Kalau kamu tak boleh melawat Mama, biar Mama yang melawat kamu. Macam mana?"

Mama tak pernah nak mengalah. Di sebalik ketenangan tersebut, selalu sahaja ada keinginan yang keras. Aku cuba mencari akal untuk menghalang Mama. Baiklah.. Kita buat cara bisnes.



"Mama, let's make a deal," aku cuba memancing Mama.

"Make a deal? With your own mother-in-law, Asyraf Amin?" Mama menyindir. Aku tahu dia tidak memaksudkannya.

"That is my attraction, Mama," aku ketawa. Sebenarnya, aku memang bagus dalam hal-hal rundingan sebegini. Mungkin kerana itu juga, aku berjaya membawa diriku ke tempat aku hari ni.

"Ok. What is it?"



"Kami akan datang makan malam dengan Mama esok. Sebaik sahaja selesai kerja, kami akan terus balik ke rumah Mama dan kita makan sama-sama ya?"

Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum meneruskan, "Kalau kami tak boleh datang rumah Mama malam esok, Mama boleh datang ke hospital keesokan harinya. Macam mana?"

"I need more than that, my son-in-law," Mama tergelak di hujung talian. Ya.. Aku terlupa, Mama pun bukanlah senang sangat nak dibawa berunding.

"Ok.. We will both stay at your home by the end of this week kalau kami gagal untuk makan malam dengan Mama esok. How's that?" aku cuba membuat tawaran lagi dengan Mama. Rasanya, dia takkan menolak lagi kali ini.

"Macam tu baru tawaran yang menarik. Baiklah. Beritahu Afsheen sekali ya? Sibuk benar doktor kita seorang tu," Mama tergelak dan berbunyi ceria. Aku hanya berani buat tawaran sedemikian sebab aku tahu, aku tak ada hujung minggu nanti.



Aku ada konferens untuk dihadiri di Kuala Lumpur. Jadi, kalau esok Afsheen tak dapat ke rumah Mama, dia sahajalah yang akan menemani Mama hujung minggu nanti. Mama pasti tak kisah. Afsheen lagilah tak kisah.

Setelah memberi salam, aku memutuskan talian.


Posted in , | 2 Comments

The Lonely + AdaMu (Part 6)



Aku baru sahaja selesai menghantar kuih-muih pada Puan Jannah yang memesan kuih-muih dari Mak Cik. Kata Mak Cik Piah, dia akan mengadakan sedikit jamuan untuk majlis hari jadi anaknya yang bongsu, sebab itulah dipesannya kuih dari Mak Cik. Aku hanya mengangguk faham dan segera meninggalkan rumah besar itu. 

Sebuah kereta Honda City bergerak melepasi aku ketika aku sedang mula menghidupkan enjin motosikal. Buat seketika, aku merenung kereta itu. Nampak macam kenal. Aku rasa, aku pernah melihat kereta itu. Platnya macam familiar. Aku cuba berfikir, di manakah aku melihat kereta tersebut, malangnya, tiada apa yang dapat aku ingat.



Cuaca agak panas. Perutku pula sudah mula rasa tidak selesa. Ia pasti sudah kembali lagi! Termasuk sekarang ini, sudah 3 kali perutku sakit sejak meninggalkan hospital. Aku hanya berharap sakit ini akan lekas berlalu seperti yang sebelumnya. 

Aku segera bergerak meninggalkan kawasan perumahan Puan Jannah dan menuju balik ke rumah Mak Cik. Risau juga kalau-kalau perutku ini akan menyebabkan sesuatu yang lebih teruk nanti. 

Semalam, aku tinggalkan hospital senyap-senyap. Aku juga tidak menyangka ia akan jadi sebegitu mudah. Pada mulanya, aku fikir, hospital kerajaan seperti itu, pasti sukar untuk aku menyusup keluar. Mungkin akan ada lebih banyak pengawal yang menanti di pintu-pintu tertentu.

Tapi, sangkaanku meleset. Kawasan hospital semalam agak lengang tanpa pengawal yang bergerak ke sana sini. Mungkin CCTV dapat menangkap pergerakanku tapi itu bukan satu masalah pun. Aku bukannya mencuri. Aku hanya 'keluar' dari hospital tersebut

Mak Cik agak terkejut apabila aku mengetuk pintu rumah lebih kurang pukul 2 pagi semalam. Pastinya Mak Cik terkejut melihat aku. Dengan berseluar dan berbaju gelap, aku tak ubah kelihatan seperti seorang pencuri. Dan malam itu juga, setelah aku dikenalpasti oleh Mak Cik, sekali lagi, aku dimarahi dan ditampar lagi. 

Perkara biasa. Rasanya, pipiku ini dah semakin kenyal dan kental akibat ditampar hari-hari.



Ya.. Usiaku 28. Tapi, untuk melawan Mak Cik, aku tiada daya untuk melakukannya. Bukan kerana aku tidak mampu, tapi bila mengenangkan semula kebaikan hati Mak Cik mengambil aku untuk dijadikan anak angkat, aku jadi tidak sampai hati nak melawan Mak Cik. Selama ini, sekalipun dengan penuh benci, Mak Cik lah yang bertanggungjawab menjagaku. 

Aku mengetuk pintu rumah dan kemudian memulas tombol lalu melangkah masuk ke dalam. Mak Cik kelihatannya sedang menantiku di atas sofa dengan mukanya yang merah padam. Aku hanya melihat wajah marah itu. Aku terkeliru. Aku tidak pasti di manakah salahku untuk Mak Cik sekali lagi marah.



"Kenapa kau bagitau pada dia yang kau tu anak angkat?!" suara Mak Cik terus meninggi padaku. Aku sedikit tersentak. 

"Siapa yang Mak Cik maksudkan ni?" aku cuba berlembut walaupun aku yakin tiada gunanya aku melakukan perkara itu. Selembut mana sekalipun aku, suara Mak Cik terhadapku takkan berubah. 

"Doktor tu datang tadi cari kau!" Mak Cik memandang aku dengan penuh meluat. 

"Doktor?" aku agak terkejut mendengar perkataan itu ketika berada di rumah ini. Semasa di hospital, ia tidak kedengaran sedemikian janggal. Tetapi, di rumah ini, perkataan 'doktor' itu sangatlah aneh.

Otakku mula bergerak memikirkan sesuatu. Doktor Afsheen datang cari aku?

Doktor Afsheen? Oh ya! Betullah! Jadi, betullah Doktor Afsheen yang datang mencari aku. Kereta Honda City hitam tadi rupanya milik Doktor Afsheen. Patutlah ia kelihatan macam biasa dilihat. 

"Kenapa dia ke sini?" aku bertanya. Pandanganku dihala tajam ke wajah Mak Cik. 

"Dia tanya pasal kau la! Yang kau lari dari hospital tu kenapa? Menyusahkan aku je la kau ni!" Mak Cik mula mendekati aku. Aku sudah bersedia, bersedia untuk sekali lagi ditampar.

"Saya tak ada duit nak bayar bil hospital," aku memberitahu sambil mataku memberi sepenuh tumpuan pada hujung jari kakiku. Aku tak mampu menahan renungan tajam Mak Cik apabila bercakap tentang hal duit. Aku akan rasa sangat sedih dengan nasibku dan mula menyalahkan takdir kerana hidupku ini. 

"Dah kau tahu kau tak ada duit, kenapa kau pergi jugak hospital tu? Kau ni mengadalah! Kau ingat tinggal dekat hospital tu murah ke? Sakit sikit dah pergi ke hospital. Beli ubat cukuplah!" Mak Cik menjerkah aku. 

PANGG! Pipiku ditampar.



Dan cukuplah perbualan kami berdua di situ. Mak Cik biasanya begitu. Marah dan bising lalu menamparku. Aku dah cukup arif dengan sikap Mak Cik terhadapku. Sejak kecil sehinggalah aku dewasa, tiada satu perkara pun yang berubah. 

Dia akan bertanya pelbagai soalan tetapi jarang sekali dia ingin mendengar jawapan. Kadang-kadang, terdetik juga di hatiku, mengapa Mak Cik mengambilku sebagai anak angkat kalau dia hanya menganggap aku tak lebih daripada bebanan dalam hidupnya?



Tiba-tiba, deria rasaku kembali mengesan rasa sakit pada perutku. Aku dengan segera bergerak ke bilikku yang terletak berhampiran dengan dapur. Kepalaku memberi arahan supaya berhenti berfikir tentang Mak Cik.

Bilik itu merupakan bilik terkecil di dalam rumah ini. Aku tidak mempersoalkan takdir. Aku tahu, aku sepatutnya bersyukur. Ada orang yang langsung tiada rumah untuk dijadikan tempat tinggal. 

Tudung hitam yang disarung ke kepala aku tarik lalu disangkutkan di hujung kepala katil. Aku menempatkan tubuhku di atas katil. Rasa letih dan sakit kembali bergabung. Sejak kebelakangan ini, rasa sakit di perutku semakin menjadi-jadi. Ada kalanya, perutku akan terasa begitu pedih bagai disiat-siat isinya. Ada masanya juga, perutku hanya sakit-sakit ringan.



Botol kecil di dalam beg dicapai. Sejak semalam, kerjaku ialah menelan ubat. Air mineral diteguk, ubat ditelan. Rasa pahitnya mencengkam kerongkong. Aku kemudiannya kembali berbaring sambil otakku berkerah berfikir bagaimana hendak menghalang Dr. Afsheen dari datang mencariku lagi.

Dia mungkin akan kembali mencariku. Mungkin dia nak pastikan keadaan aku. Aku tahu dia cukup bijak untuk mengetahui mengapa aku meninggalkan hospital itu. Dia sudahpun tahu keadaan kewanganku yang sangatlah terhad.

Jam di tangan dipandang. Sudah hampir pukul 2 petang. Aku masih belum menunaikan solat.
Peliharalah dan kerjakanlah semua solat fardhu secara istiqamah tepat pada waktunya, terutamanya solat Asar dan tunaikanlah solat itu kerana Allah dengan taat dan khusyuk. [Al Baqarah : 238] 
Sebuah ayat Al-Quran terlintas di kepala. Allah..



Perlahan-lahan, sambil tangan menekan perut, aku meninggalkan bilikku menuju ke bilik air yang terletak bersebelahan bilikku.

Bermula dengan nama Tuhanku yang Maha Suci dan tiada tandingan, aku mulakan wudhu'. Setelah selesai, aku tinggalkan bilik air kecil itu dan kembali ke bilikku. Sungguh.. Rasa pedih pada perutku ini amat menyakitkan. Aku terasa bagai ingin sahaja mengeluarkan ususku yang terasa bagai menoreh dinding perutku. Aku perlahankan langkah. Ia pasti akan menjadi sesuatu yang sukar kali ini.

Allah....



Tanganku bergerak memakai telekung dan menghampar sejadah. Aku tahu kemampuanku. Aku mustahil dapat menunaikan solat dalam keadaan berdiri. Aku mungkin akan meraung sahaja nanti. Aku memutuskan untuk solat sambil duduk.
Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Sesungguhnya solat itu adalah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk dalam solat. [Al-Baqarah : 45]
Sesungguhnya, dalam solat itu, ada penawarnya yang tersendiri.

Selesai memberi salam, tubuhku sudah terlalu lemah untuk menampung berat badan sendiri. Dunia tiba-tiba menjadi separuh gelap.

Allah..berat ni..

"Awak tahu keadaan awak agak serius sekarang ni. Kita kena berhati-hati kalau tak mahu keadaan jadi lebih teruk," suara Dr. Afsheen mencucuk gegendang telingaku.




Posted in , | Leave a comment

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.