The Lonely + AdaMu (Part 3)



"Sejak kecil, saya tidak pernah kenal dengan kedua ibu bapa kandung saya. Saya dijaga oleh ibu angkat saya yang saya panggil 'Mak Cik' sejak kecil. Kata Mak Cik, ibu kandung saya telah membunuh ayah kandung saya dan meninggalkan saya padanya," mata Hani terpaku keluar tingkap. Matanya tidak bercahaya dan lebih kepada kosong ketika mulutnya berbicara.

Aku hanya diam. Tidak mahu bertanya dan kalau boleh, aku mahu Hani terus bercerita. Sepertinya, hidup Hani, sangat sukar.

"Hidup saya, Mak Cik dan anak lelakinya yang saya panggil 'Abang' agak susah. Kami hanya tinggal di kawasan perumahan kos rendah. Mempunyai tiga bilik yang kecil dan sebuah dapur yang sederhana. Mak Cik seorang peniaga. Dia selalunya membuat kuih-muih dan nasi lemak untuk dijual. Dan setiap hari itulah, Mak Cik akan pergi berniaga. Hidup sangat susah," Hani sedikit mengeluh.

"Abang seorang yang baik. Sangat baik terhadap saya. Selalu membela saya dan bertindak melindungi saya walaupun saya hanyalah saudara sususannya sahaja. Saya sayangkan abang. Tapi...."

"Tapi?" aku mula bersuara apabila telingaku menangkap bunyi tanda-tanda ingin berhenti oleh Hani.

"Saya rasa bersalah untuk bercerita tentangnya," Hani bersuara. Ada getaran di hujung suaranya. Aku kerling pada mata yang sudah berkaca milik Hani. Mengapa?

Adakah abangnya itu telah melakukan sesuatu yang tidak baik pada Hani? Atau adakah Hani sendiri yang telah melakukan sesuatu yang tidak baik? Itukah yang dimaksudkan dengan 'maaf' yang disebut beberapa saat yang lalu?

"Hani, saya tidak memaksa awak untuk bercerita tapi, percayalah, kalau awak tak sambung bercerita, saya rasa, saya mungkin akan salah faham nanti. Dan, saya juga tak suka pada cerita yang tergantung. Sekurang-kurangnya, awak tamatkanlah cerita awak ni dengan cara yang baik," aku cuba memujuk Hani bercerita kembali. Dan, sesungguhnya, aku memang tidak rela mendengar cerita yang tidak berkesudahan.

Hani mengalih wajahnya dari tingkap dan memandang ke arahku. Seketika, dia tersenyum.

"Saya pasti akan sambung lagi selepas ni. Pasti! Tapi, mungkin bukan malam ni," Hani bersuara ceria sambil belakang tapak tangannya mengesat air mata yang hampir terbit di hujung mata.



Hani melihat dalam wajahku, sebelum bersuara, "Doktor ni mix ya?"

Aku sedikit terkejut dengan perubahan ketara yang dilakukan oleh Hani.

"Er.. Ya. Ibu saya Cina dan ayah saya, Melayu. Jadi, beginilah," aku membuka kedua-dua tapak tanganku di bawah dagu dan tersenyum.

Kami sama-sama ketawa. Aku sememangnya sedikit berbangga dengan keturunanku. Bukan bangga bermegah-megah tetapi bangga kerana walaupun Mama dan Papa datang dari dua kaum yang berbeza, mereka tetap hidup bahagia.

"Awak sendiri pun tak nampak macam orang Melayu walaupun Melayu awak agak fluent. Awak pun mix juga?" aku bertanya pada Hani.

"Saya sendiri tak tahu. Macam yang saya beritahu tadi, saya tak kenal ibu bapa kandung saya. Saya dijaga oleh Mak Cik sejak kecil dan dia tidak pernah bercerita apa-apa tentang ibu bapa kandung saya," Hani memuramkan wajahnya.

Seketika, Hani merenung anak mataku. Ya.. Aku tahu apa yang ditenungnya.



"Mata doktor pun warna kelabu jugak!" katanya sambil menundingkan jari telunjuknya ke arah wajahku. Aku agak terkejut dengan gaya spontannya. Aku tersenyum.

"Saya rabun tapi saya tak suka spect. Spect agak menganggu dan buat muka saya nampak lebih kembang," aku mengembungkan wajahku dan mengecilkan mata. Mimik seperti itu buatkan aku benar-benar kembang. Ketawa Hani terdetus apabila memandang mimik wajahku.

"Jadi, itu warna contact lens?" Hani bertanya, kembali serius.

"Ya. Anak mata saya warna hitam je, kata Mama, mata saya ikut mata Papa," aku tersenyum. Bercakap tentang Mama, tiba-tiba di kepalaku terlintas sesuatu. Ada sesuatu tentang Mama, tapi aku gagal mengingatinya dengan jelas. Aku sudah jarang menelefon Mama sejak kebelakangan ni kerana terlalu sibuk di hospital. Mungkin, aku terlalu rindukan Mama.



Jam menunjukkan pukul 11 malam.

"Doktor, dah lewat ni, saya rasa, doktor patut balik sekarang," Hani mengingatkan aku. Aku sedikit tersentak. Kenyataan yang baru dikeluarkan Hani seolah-olah memaksa aku untuk balik. Mungkin dia sedikit penat tapi malangnya, aku tidak dapat mengesan sebarang kesan kepenatan pada mata Hani.

"Baiklah. Saya mungkin akan dipersalahkan kalau saya tak biar awak tidur sekarang," aku bersuara sebaik sahaja aku menguap. Sedikit keletihan sebenarnya.

"Saya rasa doktor patut balik juga sekarang. Dah lewat. Sangat tak proper untuk seorang perempuan memandu kereta sendirian lewat malam," Hani memberitahu.

Setelah mengucapkan selamat malam dan memberi salam, aku meninggalkan bilik itu dan menguatkan semangat untuk bergerak ke bilikku sendiri, mengemas semua barangan dan memandu pulang ke rumah.

**********



"Selamat pagi," aku mengucapkan sebaik sahaja melangkah ke kaunter yang terletak di ruang dapur. Aku nampak Asyraf Amin di situ. Jam menunjukkan pukul 8 pagi. Aku perlu bergegas sedikit sekiranya aku ingin sampai ke hospital tepat pada waktunya.

"Awal balik semalam?" Asyraf Amin menyindirku dengan matanya menatap surat khabar di tangan.

"Ada hal dengan pesakit sikit semalam," aku memberitahunya, sedikit berbohong memandangkan sebenarnya, aku tiada alasan pun untuk tidak balik awal semalam. Aku hanya berbual dengan Hani dan itu bukanlah urusan yang mendesak sebenarnya.

"Setiap hari ada hal," Asyraf Amin mendengus.

"Well.. Setiap hari, ada orang yang sakit," aku membalas, bersahaja. Aku tahu sepatutnya aku tidak menjawab sedemikian tetapi, aku rasa meluat apabila Asyraf Amin langsung tidak cuba untuk memahami. Dan perkara ini sudahpun berlanjutan sejak beberapa hari yang lepas.

**********



Aku tiba di hospital tepat pada waktunya. Segera aku menyarungkan kot putih dan bersedia di dalam bilikku untuk meneruskan tugasanku seperti biasa.

Belum sempat aku ingin menyelak helaian kertas yang terletak di atas mejaku, pintu sudahpun diketuk bertalu-talu. Bunyinya kelihatan agak mengejutkan dan cukup untuk membimbangkan aku.

"Doktor, pesakit di bilik 3A........."

Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

2 Responses to The Lonely + AdaMu (Part 3)

Anonymous said...

Assalamualaikum MJ. Barakallahufiik. Sambungan yang baik : ). Perkembangan cerita ni semakin baik dan menarik. Bahagian ketiga ni paling baik setakat ni. In shaa ALLAH teruskan usaha MJ. Semoga ALLAH mempermudahkan semua urusan MJ. In shaa ALLAH bahagian 4 pula nanti.

Mimi Jazman said...

Anonymous ...

Waalaikumussalam warahmatullah.. Terima kasih sebab sudi ikuti perkembangan cerita ni.. Sebenarnya, agak ketandusan idea buat masa ni.. Terlalu banyak buku nak baca, sy jd tak tahu mcm mana nak cari idea.. :D

tp..apapun..in shaa Allah..sy akan cuba siapkan.. :)

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.