Rahsia Saya

Assalamualaikum..


Entri kali ini mungkin akan berbunyi sedikit serius memandangkan perasaan saya juga agak serius ketika ini. Dan entri juga adalah berkenaan dengan diri saya, cerita saya dalam kehidupan sebenar yang saya ingin kongsikan di sini. Mungkin ada yang tidak gemar dan berpendapat, tidak sesuai diceritakan kisah hidup di dalam laman sendiri kerana ia seolah-olah menunjukkan yang kita sebenarnya dahagakan perhatian dan inginkan publisiti.

Saya tahu ada orang fikir begitu kerana saya juga dulunya pernah fikir begitu. Namun, di sini, saya inginkan cerita secebis dari bercebis-cebis cerita hidup saya. Saya harapkan manfaat dari yang membaca untuk diri saya sendiri dan semua pembaca.
Baru-baru ini, adik selalu menangis dan beritahu saya yang dia sedih sekolah akan dibuka hanya dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Saya tidak tahu apa yang anda fikirkan, tapi, saya faham perasaan itu.

Adik adalah seorang yang sentiasa bersemangat ke sekolah sebelum ini. Mungkin dia akan menghargai cuti tetapi dia tidak pernah mengadu tidak seronok di sekolah. Adik sentiasa seronok dan sentiasa ingin ke sekolah. Matlamat adik ke sekolah cukup jelas, untuk belajar!

Adik yang saya kenal ialah 'tak peduli apa sekalipun datang, kau akan pergi jugak nanti dan untuk sementara, aku akan bertahan'. Itu adik yang saya kenal. Dia sering juga terlibat di dalam masalah dengan kawan-kawan dan guru-guru, tapi, adik tak pernah peduli dan bagi dia, itu hanya sementara dan lambat-laun, sekalipun dia tidak lakukan apa-apa, perkara akan beransur pulih.

Adik seorang yang cantik dan bijak. Nampak sempurna kan?


Tetapi..banyak perkara berubah sejak melangkah ke tahun 2013. Adik merasakan dirinya sedikit lemah mungkin kerana tekanan peperiksaan PMR yang bakal dihadapinya tahun ini.

Kata adik, terlalu banyak perkara yang menekan sehingga untuk menyelak buku sahaja sudah terasa tekanan yang menanti. Adik kerap kali menangis kerana takutkan sekolah. Dia terlalu takut untuk ke sekolah sehinggakan masa cutinya pun akan terganggu akibat memikirkan sekolah.

Mungkin semasa membaca ini, anda akan mengganggap adik seorang yang lemah atau masih belum matang dalam hal mengendalikan masalah. Tapi, tidak. Adik tidak pernah peduli pun sebelum ni. Dia terlalu kuat untuk apa sahaja. Come hell or high water, adik takkan pernah berjaya dikecewakan sehingga menangis.

Cerita adik, diri adik mengingatkan saya pada diri saya sendiri tiga tahun yang lepas.


Saya yang untouchable by any problem. Saya yang too strong for everything. Ya.. Ada masa saya jatuh tapi saya tak pernah lemah. Saya boleh cakap itu pada diri. Saya akan menangis beribu-ribu kali tapi datang apa saja, saya akan anggap, itu hanya sesuatu yang akan pergi. Saya akan menangis sesungguh-sungguh mengikut kehendak hati tapi kemudiannya, saya akan bangun semula, mengelap tangisan saya dan bangun seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Bukan tiada drama sewaktu saya hendak PMR dulu. Sebenarnya, itulah tahun yang banyak drama hebat berlaku dalam hidup saya. Bergaduh dengan kawan-kawan again and again sampai saya pun confused, apa yang saya gaduhkan sebenarnya.
Saya tak pernah peduli apa orang cakap. Nak cakap, cakaplah! Peduli apa aku. You messed up with me, well, sorry to say, I will mess up with you too. Hang benci aku, aku pun benci hang jugak.. :P hehe.. Bila time berdebat, manalah saya mahu mengalah. Kawan yang lain kata macam lain, saya kata macam lain. Bila saya tak setuju, terus-terang saya cakap saya tak setuju, tak selindung. Nak benci, punya pasal hang la!

Saya capable dengan everything. Saya boleh fit in every situation ikut cara saya. Saya kuat. Saya sentiasa ingat keluarga. Saya sentiasa ingat target saya dalam hidup. Saya selalu aim 9A.

Saya tak pasti apa yang buat saya kuat sebenarnya. Adakah kerana pendirian saya? Atau keyakinan saya terhadap diri sendiri? Atau mungkin kerana saya sedar, saya takkan hilang apa-apa di sekolah atau di rumah?

Saya sentiasa ada kawan-kawan yang saya tahu takkan tinggalkan saya walau apa pun yang terjadi. Saya yakin saya akan ada Mama dan Baba saya untuk sambut saya bila saya jatuh. Sekolah tak pernah berjaya menakutkan saya sekalipun saya tahu tak semua orang sukakan saya, tak semua guru sukakan saya. Jadi apa? Saya hanya perlu sukakan diri saya sendiri, itu yang saya selalu fikir. Ada orang menerima saya dan diri saya sebenarnya, jadi untuk apa pedulikan orang yang tidak menerima saya seadanya saya.

Setiap kali saya perlu ke tempat tuisyen, sayalah yang paling bersemangat. Susah macam mana pun, saya akan pergi. Penat macam mana pun saya, saya akan pergi kerana saya ada keyakinan bahawa diri saya lebih dari apa yang saya harapkan.


Terima kasih kepada Mama dan Baba yang selalu ada. Terima kasih sangat-sangat.

Untuk Najihah Huda, Siti Zanariah, Nurul Fathihah, kita mungkin dah tak rapat sekarang tapi saya selalu ingat kamu bertiga. Gambar kamu ada dalam bilik saya dan saya tiap-tiap hari tengok gambar tu. :) Terima kasih kerana ada pada hari saya jatuh dan hilang diri saya. Terima kasih kerana buat saya ada kawan untuk berkongsi segala tangisan dan rahsia hati. Terima kasih kerana ada untuk saya, sokong saya walaupun apa yang saya buat tu tak betul 100%.

Kepada yang lain, kamu mewarnai zaman menengah rendah saya dengan lebih banyak senyuman dan tawa. Saya tak pernah risau dengan siapa saya perlu berdepan dan saya yakin, kamu akan sentiasa pedulikan saya no matter what. Dan saya sangat yakin dengan kamu semua. Kamu akan beri cabaran pada saya dan saya yakin cabaran kamu takkan boleh patahkan semangat saya.


Saya tak pernah takut dengan apa yang orang akan fikirkan. Saya hanya perlu fikirkan diri saya. Itu sahaja yang penting. Apabila tahun 2010 semakin tiba ke penghujungnya, saya rasai dan hayati setiap detik di sekolah dengan hati yang lapang dan terbuka. Saya sedar saya akan kehilangan mereka ini kesemuanya sekali satu hari nanti dan saat-saat terakhir yang saya ada bersama mereka, cuba saya manfaatkan sebaik mungkin.

Tahun 2011 membuka lembaran baru kepada saya apabila saya berhijrah ke Seremban, ke suatu tempat di mana semua orang bercakap dalam bahasa yang bukan bahasa saya. Semua orang tak kenal saya dan saya bersendirian. Apabila ke sekolah, saya anggap itu satu cabaran memandangkan saya tak ada sesiapa yang lain.


Masa berlalu dan zaman tingkatan empat saya, saya adalah manusia yang berbeza. Saya sentiasa fikirkan apa yang orang fikirkan tentang saya. Saya bergerak mengikut rentak orang sekeliling. Saya tidak ada pendirian saya sendiri lagi. Semuanya telah dipengaruhi. Keyakinan saya untuk bercakap hilang begitu sahaja. Pendirian dan keyakinan saya terhadap diri sendiri sudah tiada lagi.

Kawan-kawan juga berubah-ubah mengikut keadaan. Tiada yang tetap di sebelah. Tetapi, ketika tingkatan empat, semuanya masih ceria. Saya masih ketawa kerana ada rakan-rakan sekelas yang kelakar dan sentiasa ada cara untuk buat saya ketawa.

Ketakutan yang sedikit untuk menghadapi sekolah sedikit dan kekal sedikit sehinggalah saya masuk ke tingkatan lima.



Tahun 2012 adalah tahun yang takkan saya kenang dalam sejarah hidup saya bernafas. Ianya sangat susah, sangat tough sampai kadang-kadang, saya hilang diri saya dalam hidup saya sendiri.

Apa yang saya sentiasa fikirkan ialah manusia lain. Saya sibuk memikirkan kesan mereka ke atas saya, saya menanam rasa benci yang sangat kuat sebab saya tak mampu nak bercerita pada sesiapa dan saya tak dapat nak suarakan kebencian saya juga.

Setiap hari adalah hari yang mencabar. Saya sentiasa terpaksa memaksa diri saya untuk bangun dari katil untuk ke sekolah setiap hari. Ada ketikanya, saya menangis teresak-esak sendirian sebab saya terlalu takutkan ke sekolah. Begitu juga dengan tempat tuisyen. Kadang-kadang, saya terasa malas gila nak pergi ke tempat tuisyen. Seolah-olah blur dan saya terlalu penat untuk semua tu setelah seharian berada di sekolah.

Saya takut untuk berhadapan dengan apa yang saya tak tahu apa akan jadi esok. Dan kalau boleh, saya sentiasa nak tahu apa akan jadi esok. Saya dah lemah dan saya tak kuat seperti sebelumnya semasa saya di tingkatan tiga.

Sewaktu di tingkatan tiga, saya tak peduli apa nak jadi hari esok. Yang saya tahu, saya hanya akan buat apa yang saya nak buat.

Berbeza dengan diri saya di tingkatan lima. Saya sentiasa peduli apa nak jadi esok. Saya sentiasa ingin tahu apa yang saya perlu buat keesokan hari.

Saya hilang keyakinan pada diri saya yang saya boleh hadapi segalanya dengan mudah. Saya belajar memaksa diri memberikan senyuman dan apa sahaja kekecewaan saya, saya tutup dan simpan baik-baik untuk diri sendiri sahaja.

Saya sudah kehilangan kawan yang saya tahu akan sentiasa ada. Saya sudah kehilangan keyakinan saya. Saya sudah kehilangan keberanian saya. Senang cerita, saya hanya ada diri saya yang kosong sebenarnya, yang hanya memikirkan pendapat orang lain lebih banyak dari pendapat saya tentang diri saya sendiri.

Dan..kehidupan di tingkatan lima berakhir dengan penuh kesedihan dan tangisan yang saya tak mampu sorokkan.



Kini, setelah melihat perubahan pada diri adik, barulah saya sedar akan corak kehidupan saya. Saya belajar daripadanya.

Hidup kita bukan untuk manusia lain. Hidup kita bukan untuk kita sendiri juga. Memang kita kena fikirkan pendapat orang tentang kita tapi lebih penting lagi kita fikirkan diri kita pada pendapat Allah. Saya jadi kuat kerana manusia kerana saya sedar mereka takkan tinggalkan saya. Saya ada keyakinan yang tinggi. Saya jadi kuat untuk semua perkara sampai saya tak pedulikan orang lain langsung. Berbeza dengan kehidupan selepas itu, saya hanya fikirkan apa yang saya akan kehilangan. Saya tiada keyakinan pada diri lagi sampaikan semuanya kelihatan mustahil buat saya.



The conclusion is, keyakinan hanya perlu kepada Allah. Kita takkan fikirkan apa yang orang lain fikir melebihi dari apa yang Allah fikir. Kita akan bertindak mencintai diri kerana yakin Allah juga akan mencintai kita kalau kita lakukan apa yang Dia suka. Keyakinan hanya perlu pada Allah. Gantungkan segalanya pada Allah sebab Dia sahaja yang berkuasa.

Saya sepatutnya jadi lebih berani bukan sebab saya tahu saya memang kuat dan ada diri saya sendiri, tetapi saya sepatutnya jadi berani sebab saya tahu ada yang Lebih Kuat di sana dan Dia ada untuk saya. Saya sepatutnya switch keyakinan yang terlalu tinggi terhadap diri saya tu kepada keyakinan yang terlalu tinggi terhadap Allah yang lebih berkuasa atas segalanya.

Saya perlu tanam keyakinan itu lebih lagi. Saya kena ada keyakinan pada Dia, kemudian saya akan ada keyakinan pada diri saya. Kemudian, barulah betul.



Hidup tanpa keyakinan adalah satu keperitan. Hidup terlebih keyakinan adalah indah tetapi melukakan ramai pihak.

Kepada kamu semua, rakan-rakan saya di tingkatan lima, saya memohon maaf kerana pernah membenci kamu. Mungkin sebab itu saya mengasingkan diri saya daripada kamu dan kadang-kadang cuba mengelak dari kamu semua. Sebab itu jugalah saya tidak gemar bergambar bersama kamu. Saya tiada keyakinan untuk itu. Sampai ke hari ini, saya cuba mengelak, sebab saya tidak rasa saya ada keyakinan bersama kamu. Saya risau saya hilang diri saya lagi dan saya baru mulakan perjalanan saya ke arah menguatkan keyakinan saya terhadap Allah lebih lagi.

Dalam ramai-ramai di antara kamu, saya ada seseorang, seseorang yang saya nak ingat. Seseorang yang saya tak pernah elakkan sampailah sekarang. Saya beri gambar saya padanya sebab saya tak mahu dia lupakan saya. Biar kamu semua lupakan saya, saya tidak kisah dan kalau boleh, saya nak seseorang ini kekalkan saya dalam ingatannya, sampai bila-bila sekalipun saya dah tak ada bersama dia.

Syazwina, as the way I like to pronounce your name, I never hope you will forget me. Kita tak lama kenal but sometimes, my strength comes from you, whom Allah had sent to me to ease my burden. Terima kasih atas masa-masa yang kita kongsi bersama.


Saya tidak menulis ini kerana inginkan perhatian. Saya menulis ini supaya ada manfaatnya buat semua. Juga, untuk menunjukkan sedikit penghargaan kepada mereka yang pernah bersama-sama saya dari semasa ke semasa. Saya juga ingin memohon kemaafan kepada mereka yang saya pernah lukai. Mungkin ini boleh dijadikan peringatan bersama.

Moga Allah meredhai.




Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

2 Responses to Rahsia Saya

Annur Izz said...

mimi..citer awk..huhu..moga Allah menguatkan kamu..dan diriku juga berharap sekuat dirimu...

Mimi Jazman said...

Annur Izz ...

Allah akan tolong kak wana.. chaiyok eh?? :)

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.