The Lonely + AdaMu (part 1)

Seorang penulis selamanya menulis.
Seorang penulis menulis dari hati.



Aku adalah seorang doktor pakar kanser. Usiaku 28. Aku mempunyai seorang suami yang sukar untuk aku tafsirkan. Dia cepat marah dan cepat pula sejuk. Kadang-kadang, aku terfikir juga untuk biarkan sahaja perangai suamiku itu yang tidak pernah berhenti mengkritik karierku sebagai seorang doktor. Katanya, aku sepatutnya, tinggal di rumah sahaja. Nah.. Sebelum bernikah lagi sudah aku tekankan padanya yang aku ingin membina karier dan dia hanya bersetuju untuk tetap menikahiku atas dasar cinta.

Soal hati.. Sukar untuk aku mengerti sesuai dengan peranan sebagai seorang doktor dan bukannya penulis pujangga yang tahu bermadah dan berfalsafah.



Kisah aku bermula dengan kehadiran seorang pesakit muda di wad. Ketika itu, aku baru sahaja selesai berbincang dengan salah seorang ahli keluarga pesakitku. Seperti biasa, pasti ada adegan tumpah air mata walau segagah manapun seseorang itu kelihatan. Dan seperti biasa juga, aku hanya mampu menghulurkan kotak tisu dan memujuk dengan perkataan,"Sabar ye encik..."

"Doktor, ada pesakit baru daftar. Dia ditempatkan di bilik 3A. Pemeriksaan segera harus dijalankan," jururawat yang kecil molek beruniform putih memberitahu setelah pintu bilikku diketuknya.

Aku bingkas bangun dari kerusi empuk yang terletak berhadapan dengan meja tulisku. Aku mengiringi ahli keluarga pesakitku itu keluar dari bilikku. Bergegas kemudiannya, menuju ke bilik 3A.



Aku menolak 'sliding door' yang menjadi pintu masuk ke bilik 3A. Hanya ada dua nama di situ. Aliya Huda bt. Zamre dan Hani Hayani bt. Amir. Aku sudah berkenalan dengan Aliya Huda. Itu bermakna, pesakit baruku ini ialah yang bernama Hani Hayani.

Aku melangkah ke dalam bilik yang dingin itu. Aliya Huda yang terbaring di atas katil terdekat dengan pintu kelihatan lebih sihat dari malam tadi. Aku menganjak kakiku ke katil sebelah katil Aliya Huda. Hani Hayani berbaring tanpa menyalin pakaian hospital terlebih dahulu. Wajahnya jelas pucat. Bibir dan pipinya bagaikan tidak berdarah. Peluh yang menitis di sebalik skarf yang dipakai jelas menunjukkan Hani Hayani sedang mengalami kesakitan yang amat sangat.



Ya.. Aku kembali mengimbas kejadian seminggu yang lepas. Itulah kali pertama aku bertemu dengan Hani Hayani. Melalui pemeriksaan yang telah dijalankan, jelas sekali, Hani Hayani menghidapi sejenis kanser yang jarang-jarang sekali berlaku. Malahan dalam 8 tahun aku berkhidmat sebagai pakar kanser, inilah kali kedua aku berhadapan dengan pancreatic endocrine tumor yang merupakan sejenis kanser pankerias.

Keadaan Hani yang berpeluh-peluh sedikit membimbangkan. Aku dengan segera melarikan stetoskopku pada dada Hani. Seketika kemudian, jururawat yang memanggilku sebentar tadi melangkah masuk ke dalam ruangan dingin itu. Aku mengarahkan jururawat tersebut untuk membawa ubat penahan sakit.



***********

Aku menuju ke arah katil Hani Hayani pada saat dia dan Aliya Huda begitu rancak berbual dan bergelak-tawa.

"Hani Hayani, kita berjumpa lagi," aku sambil tersenyum berjabat tangan dengan Hani Hayani.

Hani Hayani mengangguk, "Saya gembira berjumpa dengan doktor lagi."



Aku hanya tersenyum, kemudian segera mengambil tempat di sisi katil Hani Hayani sambil mengisyaratkan Aliya Huda untuk meninggalkan aku dan Hani bersendirian. Aliya hanya mengangguk dan bergerak kembali ke katilnya.

"Hani, saya hanya nak tahu sekiranya saya boleh bercakap dengan sesiapa dari kalangan ahli keluarga awak," nadaku sedikit tegas.

"Doktor boleh cakap dengan saya," balas Hani dengan yakin sambil matanya tidak lepas dari wajahku.

"Awak yakin?"

Hani hanya membalas dengan sekali angguk.



Aku kemudian menerangkan kepadanya akan betapa seriusnya keadaan penyakitnya. Kanser yang dihidapi oleh Hani telah menyebabkan badan Hani kekurangan gula dalam darah. Perkara ini mungkin nampak remeh tapi sebenarnya, ia boleh menyebabkan koma atau kematian, sesuatu yang sangat membimbangkan. Selain itu, tumornya juga semakin lama semakin membesar dan ia seolah-olah bergerak ke arah usus kecil.

Aku mula menyangka Hani akan pucat sekali lagi mendengarkan kondisi tubuhnya tetapi nyata aku silap! Hani kelihatan tenang dan seolah redha dengan penjelasan aku. Dan yang lebih jelas, dia seolah-olah menyatakan yang dia sudah bersedia untuk sebarang kesakitan yang akan dialaminya nanti.



Aku turut memberitahu Hani bahawa terdapat dua kaedah rawatan untuk kesnya, iaitu kaedah alternatif dan konvesional. Kaedah alternatif adalah dengan menggunakan ubat-ubatan dan diet yang diperlukan sementara kaedah konvesional adalah dengan menggunakan sinaran radiasi.

Kedua-duanya ternyata berisiko. Dengan menggunakan ubat-ubatan dan diet, tubuh Hani berkemungkinan tidak dapat melawan pertumbuhan tumor atau dalam erti kata lain, ia tidak membantu langsung dalam menyembuhkan. Kaedah yang menggunakan sinaran radiasi juga sebenarnya lebih kurang sama, di mana kematian sel yang sihat akan menyebabkan fungsi badan menjadi bercelaru dan kecederaan sel boleh menjadi sesuatu yang sangat membahayakan.

Mudahnya, jika Hani mengambil kaedah alternatif, tubuhnya mungkin takkan mampu melawan pertumbuhan tumor dan akhirnya, menyebabkan maut! Sekiranya Hani menggunakan kaedah konvesional, pertumbuhan tumor mungkin dapat dihalang dan Hani akan sihat. Boleh juga jadi sebaliknya di mana Hani akan bertambah sakit dan akhirnya mati juga!

Ya.. Kedua-duanya cukup berisiko.

Aku menanti Hani untuk memberi jawapan.



"Doktor, saya rasa saya tidak perlu beristikharah untuk ini. Jadi, saya putuskan untuk mengambil kaedah alternatif sahaja. Ada banyak sebab kenapa saya memilih kaedah ini berbanding kaedah konvesional," dengan mudah Hani memberi jawapan sambil tersenyum yang kemudiannya diiringi tawa kecil yang menyenangkan.

Dunia kelihatan begitu mudah untuk Hani.

**********

Sudah seminggu Hani berada di hospital. Sudah seminggu jugalah Hani dikawal dengan diet yang ketat dan dipaksa untuk menelan hampir 150 biji pil dalam masa sehari!

Dan dalam tempoh seminggu itu juga, aku ternanti-nantikan kedatangan ahli keluarga Hani. Malangnya, tiada sesiapa yang datang melawat, tidak kiralah ahli keluarga atau kawan-kawan mahupun majikan! Aku hairan.



Waktu sudah larut malam. Aku melangkah buat kali ketiga ke bilik 3A. Aliya Huda kini sudah dibenarkan pulang bersama ibunya. Jadi, tinggallah Hani bersendirian di bilik 3A yang dingin dan sepi itu.

Aku melihat Hani sedang membaca sebuah buku. 'Penawar Duka Pengubat Sengsara' karya Dr. Mohd. Asri. Sudah terlalu lama aku meninggalkan bahan bacaan seperti itu akibat terlalu sibuk dengan hidup yang tak menang tangan ini.

................

(bersambung apabila idea kembali datang, in shaa Allah)

*http://www.cafemlm.com/kesihatan-dan-anda/kanser-dan-sinaran-radiasi.html
*http://www.cafemlm.com/kesihatan-dan-anda/kanser-pankerias-pancreatic-cancer.html


Posted in , . Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

3 Responses to The Lonely + AdaMu (part 1)

Anonymous said...

Assalamualaikum MJ.

Barakallahufiik MJ. Satu usaha yang baik. Semoga ALLAH beri MJ petunjukNYA dan kekuatan untuk MJ terus menulis : ).

Saya harap saya boleh membantu juga.

http://m.cancer.gov/topics/treatment/bycancer/isletcell/Patient

Laman web ni saya jadikan rujukan saya untuk cancer. Semoga ALLAH membantu MJ dengan laman web ni.

Mimi Jazman said...

Anonymous ...

Jazakallahu khair lagi sekali.. nak kembali menulis macam sebelum ni.. :) moga dipermudahkan..

Anonymous said...

In shaa ALLAH. Semoga ALLAH permudahkan semua urusan MFMJ : )

Mungkin saya boleh kongsi sedikit tips untuk MJ untuk mencari rujukan yang tepat dalam bidang perubatan di internet.

Biasanya laman web yang ada .gov atau .edu in shaa ALLAH boleh dibuat rujukan jika ada artikel atau apa apa informasi yang diberi.

Mengikut apa yang saya selalu guna, laman web yang ada .gov merupakan laman web untuk sesuatu kerajaan, laman web yang ada .edu adalah laman web yang ada kaitan dengan sebuah universiti atau tempat pengajian tinggi.

Semoga ALLAH memberi manfaat untuk MJ, saya dan semua umat Islam. in shaa ALLAH : )

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.